Amirudin Shari
Amirudin Shari

SHAH ALAM – Selangor akan menilai semula kadar tarif air dan program pemberian air percuma supaya tidak membebankan kerajaan negeri dan pengguna di terlibat.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata, bagaimanapun buat masa ini kerajaan negeri berpendirian untuk mengekalkan tarif air serta program pemberian air percuma itu.

“Matlamat penstrukturan air di Selangor sebelum ini adalah untuk mengambil alih operasi rawatan dan pengagihan bekalan air daripada syarikat konsesi sedia ada.

“Justeru, bila masa sesuai, kita harus nilai (tarif dan air percuma) semula supaya ia tidak bebankan kerajaan negeri dan rakyat,” katanya.

Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua berkata demikian ketika menjawab soalan Lau Weng San (ADUN Banting) mengenai penstukturan air di Selangor pada sidang dewan undangan negeri di sini, hari ini.

Beliau berkata, dengan pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Selangor Sendirian Berhad (SPLASH) bernilai RM2.55 bilion susulan rundingan selama hampir setahun antara pihak itu dan Air Selangor pada 3 Ogos lepas, pengurusan air telah dapat ditangani dengan baik dan saksama.

“Dengan penyelesaian isu penstrukturan industri air, yang mana kini pengurusan air (negeri) diletakkan di bawah Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), ia turut mengurangkan kos pengurusan air terawat di negeri ini,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast