Ng Sze Han
Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han pada sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam

SHAH ALAMĀ – Tiada rundingan pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dilakukan di antara Kerajaan Negeri Selangor dengan Kerajaan Persekutuan susulan semakan dan kajian semula projek itu masih berjalan.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze HanĀ berkata, sekiranya projek ECRL dipertimbang untuk dilaksanakan, beberapa syarat perlu dipatuhi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL).

“Pada masa ini tiada rundingan dilakukan di antara kedua-dua pihak kerana projek itu masih ditangguhkan untuk semakan dan kajian semula pelaksanaannya oleh Kerajaan Persekutuan.

“Di peringkat Kerajaan Negeri Selangor, pelaksanaan projek ECRL turut melibatkan sebahagian kawasan di Selangor.

“Sekiranya projek ini dipertimbang untuk diteruskan pelaksanaannya oleh Kerajaan Persekutuan, pihak MRL perlu mematuhi syarat-syarat dan keperluan yang ditetapkan dengan mengambil kira beberapa perkara,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Sze Han menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong Keat yang meminta Menteri Besar Selangor menyatakan perkembangan terkini projek ECRL di Selangor dan jumlah rundingan dengan Kerajaan Persekutuan sejak 9 Mei lalu.

Beliau berkata, antara syarat yang perlu dipatuhi syarikat penyedia projek itu ialah jajaran laluan ECRL perlu dibina sejajar dengan Lebuh Raya Karak sedia ada.

“Selain itu MRL perlu membuat penyelesaian berhubung penempatan Orang Asli di Gombak.

“MRL juga perlu memberi perhatian kepada kawasan hutan simpan dan rizab Melayu dengan menyediakan pelan atau langkah tindakan seperti pertukaran tanah,” katanya.

Katanya, pihak perlu mendalami dan menyelesaikan isu-isu berkaitan tanah penduduk kampung yang terlbat dari semasa ke semasa serta mengemukakan permohonan pembangunan kepada kerajaan negeri.

“Pihak MRL perlu mendapatkan kelulusan dasar daripada Kerajaan Negeri Selangor dan seterusnya mengemukakan permohonan projek dengan kerajaan di bawah Seksyen 3A , Akta Perancang Bandar dan Desa 1976,” katanya lagi. – MalaysiaGazette