Mustafar Ali
Mustafar Ali

KUALA LUMPUR – Seorang ahli lembaga pengarah di sebuah syarikat pembekal pekerja asing merupakan antara dua individu yang ditahan Jabatan Imigresen kerana terlibat dalam mengemukakan dokumen palsu bagi kelulusan kuota pekerja asing.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, suspek ditahan di Nilai, Negeri Sembilan semalam manakala seorang lagi merupakan wanita ditahan di sini petang tadi.

“Hasil pemantauan dan risikan awal mendapati syarikat ini telah memperoleh pas bagi pekerja mereka dengan mengemukakan maklumat palsu kepada Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen.

“Berikutan itu, pihak imigresen telah melakukan tangkapan terhadap kedua-dua ahli lembaga pengarah tersebut kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56(1)(k) Akta Imigresen 1959/63 iaitu mengemukakan maklumat palsu untuk mendapatkan suatu pas,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Mustafar, susulan penahanan itu pihaknya juga sedang memburu seorang lagi suspek yang juga merupakan ahli lembaga pengarah syarikat tersebut bagi membantu siasatan.

Tambah beliau, pihak imigresen turut menyelamatkan 61 warganegara Bangladesh yang merupakan pekerja syarikat terbabit yang tidak mengetahui dokumen yang digunakan oleh mereka adalah palsu. – MalaysiaGazette