Mohamed Khaled Nordin
Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Pelantikan Dr. Maszlee Malik terhadap sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dilihat sebagai satu gerakan sistematik memastikan orang politik khususnya daripada Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PBBM) mempunyai pengaruh ke atas universiti serta institusi pendidikan di Malaysia.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin melihat perkara tersebut sebagai satu tindakan tidak wajar oleh Menteri Pendidikan.

Beliau turut menggariskan lima perkara mengapa tindakan Maszlee itu tidak boleh diterima dan perlu dipertimbangkan semula.

Antara alasan yang diberikan ialah Maszlee bukan seorang pentadbir yang mempunyai kelayakan atau rekod pentadbiran cemerlang.

Malah katanya, dalam tempoh 100 hari pertama memegang jawatan, Maszlee sudah memperlihatkan ketidakupayaannya untuk memberikan kepimpinan yang profesional dan meyakinkan apabila memulakan keseluruhan proses kritikal merombak dan menambah baik sistem pendidikan negara dengan memfokuskan kepada penukaran warna
kasut sekolah yang memperlihatkan kegagalan beliau untuk meletakkan keutamaan kepada sesuatu isu.

“Menukar-nukar kenyataan dan memberikan pendirian yang saling bercanggah dan berbeza terhadap isu pembiayaan Kerajaan kepada sekolah persendirian Cina yang menggambarkan beliau seorang yang tidak konsisten, cuai dan terlalu cepat melatah serta tunduk pada tekanan.

“Mencadangkan penjualan nombor pendaftaran kenderaan sebagai cara
mendapatkan dana universiti, yang menggambarkan beliau memandang
remeh dan rendah fungsi sesebuah universiti,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kedua, menurut Khaled, adalah masih tidak wajar untuk seorang ahli politik yang mempunyai kepentingan politik menjawat jawatan di dalam pentadbiran universiti awam yang bebas.

Katanya, ia berlawan dengan nilai-nilai ketelusan dan kebebasan akademik rentas kepartian dan ideologi.

Khaled meletakkan perkara ketiga dengan menyatakan, pelantikan Maszlee dikhuatiri akan membuka ruang berlaku layanan berat sebelah dan tidak adil yang mungkin boleh memihak kepada UIAM berbanding institusi-institusi pendidikan lain di Malaysia.

“Sekalipun tidak akan berlaku, persepsi sedemikian akan terus wujud. Tidak dapat dinafikan yang konflik kepentingan antara kapasiti beliau sebagai Menteri Pelajaran dan Presiden UIAM boleh berlaku dalam susun atur sebegini,” ujarnya.

Keempat, bekas menteri besar Johor itu berkata, pelantikan itu juga bercanggah dengan janji dan komitmen Pakatan Harapan yang mahu membebaskan universiti dan institusi pendidikan dari pengaruh politik.

“Jadi, penerimaan pelantikan ini hanyalah satu lagi bentuk keputusan yang terus menggambarkan kegagalan PH untuk berpegang kepada janji PRU-14 mereka dan menunjukkan sikap lidah bercabang Maszlee,” dakwanya.

Bekas menteri itu turut menggariskan perkara kelima iaitu, UIAM mesti dipimpin dengan serius, berfokus dan bervisi agar dapat dilonjakkan sebagai sebuah universiti antarabangsa yang cemerlang dan memenuhi
mandatnya.

Ujar beliau, UIAM tidak boleh dikemudikan oleh seseorang yang tidak berupaya memberikan sepenuh masa dan fokus kepada perkembangan dan lonjakan prestasinya.

“Fokus serta komitmen yang terbahagi-bahagi seperti ini tidak akan memberikan hasil yang optimum, melainkan Dr Maszlee percaya bahawa membetul dan menaikkan kualiti pendidikan di negara ini cukup sekadar dengan menukar warna kasut dan membuat kejutan untuk masuk ke bilik darjah dari pintu belakang.

“Saya harap kerajaan, khususnya Kementerian Pendidikan dan YB Menteri Pendidikan sendiri akan mempertimbangkan semula perkara ini.

“Lebih-lebih lagi dalam keadaan yang menyaksikan ramai calon serta tokoh berwibawa lain yang boleh diangkat dan diberi penghormatan untuk menerajui kepimpinan UIAM,” katanya. – MalaysiaGazette