Dr. Maszlee Malik

KUALA LUMPUR – UMNO Bahagian Johor Bahru menyifatkan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik sebagai seorang individu yang ‘cakap tak serupa bikin’ apabila menerima pelantikan sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa (UIAM).

Pengerusi Biro Pendidikan UMNO Johor Bahru, Mohd. Faiz Silvano berkata, Ahli Parlimen Simpang Renggam itu telah ‘mencabul’ kenyataannya sendiri yang pernah menyatakan akan memastikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak akan menyalahgunakan universiti untuk kepentingan politik termasuk dirinya sendiri.

Menurutnya, langkah Maszlee menerima jawatan itu hanya akan menimbulkan konflik kepentingan dalam sistem pendidikan.

Maszlee Malik
Mohd Faiz Silvano

“Ini bukanlah fenomena baru dalam kerajaan hari ini. Berulang kali, Maszlee dan rakan-rakan dalam kerajaan PH membuat satu janji lalu mengingkari kata-kata mereka sendiri.

“Polemik ini semakin jelas kelihatan di setiap strata kepimpinan negara semasa. Mungkin mereka sangka rakyat lupa, atau mungkin mengambil sikap ‘hantam saja la’,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Faiz berkata, universiti bukanlah satu tempat mainan politik dan mahasiswa perlu diberi kebebasan untuk mendapat pendidikan tanpa dipengaruhi oleh golongan ahli politik.

Malah, pengurusan universiti juga perlu diberi autonomi tanpa kongkongan politikus, katanya.

Tambah beliau, menara gading adalah institusi luhur yang harus dipelihara daripada genggaman sesiapa yang beragenda politik.

Institusi pengajian tinggi juga katanya, bukan hanya untuk melahirkan masyarakat berbakat, tapi juga berperanan penting dalam menjaga martabat keilmuan negara.

Sehubungan itu kata beliau, UMNO Bahagian Johor Bahru mendesak Maszlee menolak jawatan Presiden UIA termasuk Setiausaha Politiknya yang turut ditawarkan sebagai ahli Lembaga Pengarah Universiti Utara Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast