Naib Presiden MCA, Chee Mei Fun bercakap kepada media selepas selesai Majlis Pelancaran Manifesto Calon MCA di Bilik Operasi MCA Balakong Cheras, Selangor. foto IQBAL BASRI, 19 OGOS 2018

BALAKONG – MCA membuka pintu kerjasama kepada semua parti dan individu daripada blok pembangkang untuk membentuk barisan pembangkang terkuat mendahulukan prinsip semak dan imbang di negeri Selangor.

Naib Presiden MCA Datin Paduka Chew Mei Fun berkata, kerjasama dengan pembangkang diyakini boleh membantu MCA memperkuatkan perjuangan semak dan imbang dalam pentadbiran kerajaan negeri Pakatan Harapan itu.

“Saya dah cakap kita nak amalkan semak dan imbang dengan semangat pembangkang membawa segala agenda rakyat kepada kerajaan negeri.

“Kita mengalu-alukan semua parti dan individu atas prinsip semak dan imbang dengan memberi bantuan dan sokongan kepada kami.

“Kerjasama ini sudah pasti akan memberi kekuatan kepada MCA untuk sentiasa memantau semak dan imbang kerajaan negeri Selangor,” katanya dalam sidang media kempen Pilihan Raya Kecil DUN Balakong di Batu 11 Cheras di sini.

Beliau berkata demikian selepas ditanya mengenai beberapa pemimpin Pas termasuk Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan turun berkempen bersama calon MCA Tan Chee Teong semalam.

Ia merupakan kali pertama Pas yang sebelum ini menentang kerajaan terdahulu Barisan Nasional yang disertai MCA akhirnya turun berkempen untuk MCA dalam sejarah politik tanahair.

Kata bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat itu, kerjasama dengan parti lain dalam pembangkang juga akan memudahkan usaha penyampaian mesej semak dan imbang MCA kepada rakyat.

Justeru beliau menjelaskan pembangkang kekurangan wakil rakyat dalam DUN Negeri untuk membawa agenda dan suara rakyat Balakong.

“MCA sentiasa memegang kepada prinsip dan nilai bersifat universal membolehkan kerjasama dengan semua parti ada termasuk Pas.

“Kerjasama dari Pas dan sebagainya membolehkan kita mendekati dan menjelaskan pentingnya semak dan imbang kepada pengundi selain memastikan ketelusan dan integriti kerajaan negeri Pakatan Harapan.

“Walaupun sudah pasti akan ada pendapat berbeza antara parti pembangkang mengikut prinsip parti, tetapi secara dasarnya kita lebih komited untuk bekerjasama dan teruja dengan keikhlasan Pas menyertai kami menyemarakkan mesej semak dan imbang untuk pantau PH,” tegasnya.- MalaysiaGazette.