Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Syarikat-syarikat telekomunikasi diarah segera mengecualikan cukai perkhidmatan bagi nilai tambah kad pra-bayar telefon bimbit kepada pelanggan warga negara Malaysia.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pengecualian ini adalah berdasarkan kepada Seksyen 34(3)(a) Akta Cukai Perkhidmatan 2018 dan berkuatkuasa mulai 6 September 2018.

“Semua syarikat telekomunikasi perlu mengambil tindakan yang sewajarnya dengan segera dalam mematuhi penetapan pengecualian cukai perkhidmatan ini.

“Melalui pengecualian ini, pelanggan perkhidmatan telekomunikasi pra-bayar akan mendapat nilai kredit sepenuhnya apabila membuat tambah nilai dan tidak lagi dikenakan cukai perkhidmatan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, arahan itu diberikan ekoran syarikat-syarikat telekomunikasi menghadapi kesukaran untuk mengubah sistem mereka dengan segera.

Jelas beliau, kerajaan akan mengumumkan kaedah lain untuk syarikat-syarikat telekomunikasi agar kerajaan tidak mengalami kerugian dalam memastikan pelanggan mendapat nilai penuh untuk bayaran yang dibuat. – MalaysiaGazette