Datuk Amiruddin Hamzah
Amiruddin Hamzah

KUALA LUMPUR – Walaupun janji manifesto kerajaan Pakatan Harapan (PH) secara ‘terang-terang’ memberi gambaran gaji minimum yang akan diperjuangkan adalah RM1,500 namun hanya tambahan RM50 sahaja.

Semalam, kerajaan persekutuan mengumumkan gaji minimum ditetapkan kepada RM1,050 di seluruh negara mulai 1 Januari tahun depan daripada RM1,000 untuk Semenanjung Malaysia dan RM920 bagi Sabah dan Sarawak.

Timbalan Menteri Kewangan, Amiruddin Hamzah memohon kepada rakyat supaya bersabar dan memberikan lebih masa, sekurang-kurangnya lima tahun.

“Kita masih ada lima tahun lagi, sudah tentu kita akan berusaha keras untuk memastikan gaji minima yang pernah kami janjikan dalam manifesto pilihan raya akan dikotakan. Kita akan tingkatkan kadar itu dari semasa ke semasa sehingga capai sasaran.

“Tolong beri masa kepada kami untuk lakukan yang terbaik dalam perkara ini,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen selepas penggulungan titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementerian berkenaan pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

Tambah beliau, janji kerajaan PH untuk menaikkan gaji minimum kepada RM1,500 hanya ditetapkan berdasarkan data yang tidak lengkap ketika mereka masih belum memegang tampuk kuasa.

Jelasnya, para majikan juga telah meminta lebih banyak masa untuk memenuhi kadar gaji minimum yang dikehendaki.

“Kami akui ramai yang kecewa dengan keputusan yang kita buat tentang isu gaji minimum ini. Ada yang lega juga dengan pengumuman kita. Walaupun yang kecewa ini, ianya tidak akan berpanjangkan.

“Sekiranya kita boleh berikan anda kelegaan dan juga harapan bahawa kerajaan baharu ini sebenarnya sedang menuju ke arah negara berdaya saing, bertanggungjawab serta telus dengan harapan keadaan ekonomi bertambah baik dari dulu. Ini bukan untuk jangka panjang.

“Kalau semuanya berjalan dengan baik sekali, majikan boleh berikan lebih daripada yang kami cadangkan, kami cuma mahu diberikan masa,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast