Mohd Azis Jamman

KUALA LUMPUR – Kerajaan belum dapat membuat keputusan muktamad untuk memansuhkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) kerana tidak mahu melakukan sebarang tindakan terburu-terburu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, kajian mendalam sedang dijalankan pada peringkat ini.

“Kita telah tubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk bukan sahaja berbincang tentang pemansuhan akta ini sebaliknya POCA, POTA, akta Perhimpunan Aman, akta Percetakan dan juga hukuman gantung.

“Kita tidak mahu membuat sebarang keputusan secara terburu-buru sebaliknya akan menjalankan kajian menyeluruh bagi memastikan tindakan pemansuhkan itu dilakukan secara betul dan tepat.

“Apa sahaja cadangan yang diberikan oleh jawatan kuasa ini akan di ambil kira sebelum sebarang keputusan muktamad oleh Kabinet.

Sehingga kini, keputusan untuk mansuh atau tidak, masih lagi dalam peringkat perbincangan,” katanya.

Beliau ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Negara, Khairul Azwan Harun yang meminta Kementerian Dalam Negeri menyatakan apakah status SOSMA, selain daripada langkah diambil bagi memastikan keamanan serta keselamatan rakyat terjamin daripada jenayah hasutan, rusuhan serta keganasan.

Tambah Azis Jamman, pihaknya juga akan mengambil pandangan bekas tahanan SOSMA sebelum bertindak memansuhkan akta ini, juga daripada pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia.

“Seperti yang kata tadi, kita tidak boleh terburu-buru. Kita akan ambil pandangan semua pihak sebelum sebarang muktamad di ambil demi kepentingan semua pihak.

“Saya mohon kepada anda semua supaya jangan bimbang, kita dalam peringkat kajian dan akan mengambil kira pandangan semua pihak. Kita tidak tahu apa yang dilalui oleh anggota-anggota yang melakukan siasatan dengan kes-kes berbahaya terutamanya ancaman keselamatan,” ujarnya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pemansuhan SOSMA akan tetap dilakukan seperti yang termaktub dalam janji Manifesto Pakatan Harapan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 lepas.

Malah Peguam Negara, Tommy Thomas pernah berikrar untuk memansuhkan undang-undang tersebut kerana ianya dianggap bertentangan dengan prinsip keadilan sejagat dan zalim.

SOSMA diwujudkan pada 22 Jun 2012 oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dimansuhkan pada 15 September 2011 selepas ditubuhkan pada 1960.

Berbanding SOSMA, ISA mengenakan tindakan yang lebih tegas iaitu pesalah boleh ditahan polis selama 60 hari tanpa perbicaraan dan boleh dilanjutkan sehingga dua tahun dengan kebenaran Menteri Dalam Negeri.

SOSMA pula lebih menepati hak asasi manusia apabila pesalah ditahan dalam tempoh hanya 24 jam untuk penyia­\satan dan boleh dilanjutkan tidak lebih 28 hari. – MalaysiaGa

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast