NEW YORK – Seramai 10 penumpang Emirates dalam perjalanan dari Dubai ke New York, Amerika Syarikat dikuarantin sejurus selepas tiba di Lapangan Terbang JFK sebentar tadi.

Rata-rata penumpang dikatakan mengalami selesema dan batuk secara kronik  beramai-ramai sehingga menyebabkan berlaku situasi panik dalam kalangan kru pesawat.

Malah ada  laporan mengatakan berkemungkinan ada angka lebih daripada 10 yang dilaporkan mengidap penyakit yang sama.

Terdahulu, Portal The Independent melaporkan, sekurang-kurangnya lebih daripada 100 penumpang dilaporkan mengalami simptom yang sama sehingga menyebabkan keadaan tidak menentu.

Ini juga menyebabkan rasa gelisah dalam kalangan masyarakat setempat sebelum pihak berkuasa di lapangan terbang membuat kenyataan rasmi.

Para pegawai perubatan terpaksa dikejarkan ke lapangan terbang JFK ketika ini bagi memberi bantuan perubatan.

Bagaimanapun, setakat ini pihak berkuasa belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung angka rasmi penumpang yang sakit namun di laporkan semuanya berada dalam keadaan stabil. – MalaysiaGazette