PETALING JAYA – Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan dirinya seolah bermimpi apabila pakatan politik yang terpenting dalam sejarah berlaku dengan terjalinnya kerjasama partinya dengan UMNO.
Ketika berceramah mega kesatuan blok pembangkang di PJS 8 malam tadi yang dihadiri Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, beliau menganggapnya sebagai bersejarah bagi Pas.
“Ini kali pertama Presiden UMNO berdiri di pentas Pas, berceramah minta ahli UMNO sokong Pas. MCA pun datang minta ahlinya dan masyarakat Tionghua sokong Pas. Mimpikah aku?
“MIC sudah biasa (sokong Pas), ini bukan baru. Sebelum ini, pun melalui Dewan Penyokong Pas kita mendapat banyak sokongan dari kaum India dan MIC. Terima kasih,” katanya pada ceramah grand finale dekat sini.
Tuan Ibrahim secara berseloroh berkata, selama 60 tahun Pas ‘melawan’ UMNO dan kini kedua-duanya telah bersatu sehingga ada seorang kawan bertanya, selepas ini Pas hendak lawan siapa pula sebab dahulu bermusuh dengan UMNO.
Beliau menjelaskan, kerjasama itu merupakan titik tolak baharu dalam perubahan senario politik masa depan Malaysia.
Katanya, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berpesan kepadanya agar pegang tiga perkara, iaitu setiap kali pergi ceramah pastikan orang ramai datang, mereka mendapat ilmu, memahami isu semasa dan dapat bekalan amalan untuk dibawa balik.
“Politik dalam Pas adalah sebahagian daripada tuntutan agama. Maknanya, kita berpolitik bukan suka-suka, bukan ikut apa kita rasa nak buat. Politik dalam Islam adalah politik yang ada panduan.
“Siapa sahaja ahli politik dan pemain politik, kita tidak boleh keluar daripada landasan politik kerana politik sebahagian daripada Islam. Bahkan, ketika memilih pemimpin Islam menggariskan syarat. Bukan semua boleh jadi pemimpin dan bukan semua boleh dipilih jadi pemimpin,” katanya lagi.
Perjuangan Pas sejak dari awal bukan kepada kaum, kata Tuan Ibrahim, sebaliknya isu seperti kemiskinan diberi perhatian kerana kemiskinan ada pada semua kaum baik Melayu, Cina dan India.
Beliau turut menjelaskan mengenai perjuangan baharu Pas iaitu Budaya Politik Matang dan Sejahtera yang dimulaikan pada PRU-14 baru-baru ini.
“Politik kita bukan politik maki hamun, cerca, kutuk dan fitnah. Kita mengamalkan politik akar umbi yang tidak berpaksi kepada persepsi.
“Bayangkan bagaimana Pas berdepan dengan pelbagai tuduhan dan fitnah pada PRU-14 baru-baru ini. Macam-macam fitnah disebar melalui media sosial sehingga timbul persepsi tidak benar pada Pas,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.- MalaysiaGazette