Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (kiri) dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (kanan) hadir pada Ceramah Mega N32 Seri Setia di Padang PJS 8/9, Petaling jaya, Selangor. foto MIRZA HASIM, 6 SEPTEMBER 2018
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (kiri) dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (kanan) hadir pada Ceramah Mega N32 Seri Setia di Padang PJS 8/9, Petaling jaya, Selangor. foto MIRZA HASIM, 6 SEPTEMBER 2018

PETALING JAYA – UMNO komited bertahaluf siyasi dengan Pas tanpa mengetepikan rakan lain dalam Barisan Nasional (BN), ujar Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, tahaluf siyasi itu akan termeterai di peringkat Selangor dahulu, sebelum beliau dan kepimpinan tertinggi Pas berbincang untuk meneruskan di peringkat nasional.

Jelas beliau, kebersamaan atau kerjasama itu bukan untuk menakut-nakutkan rakan yang telah sekian lama dalam BN, iaitu MCA dan MIC atau parti lain, tetapi demi untuk rakyat dan politik.

“Kami serius dalam soal tahaluf dan kesefahaman dalam pelbagai isu. Kita bukan bicara soal tahaluf di peringkat nasional, tapi di DUN Seri Setia inilah tahaluf siyasi permulaan antara UMNO dan Pas serta rakan dalam BN.

“Kita (UMNO dan Pas) mempunyai agenda yang sama. Selama 60 tahun kita berperang dan di akar umbi pula bukan perkara yang senang untuk kita beritahu kerjasama ini dan kita duduk bersama di sini,” katanya ketika menyampaikan ceramah Grand Finale – Ceramah Mega Kesatuan Blok Pembangkang dekat sini, malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong; Timbalan Presiden MIC, Datuk K Devamany; Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan; dan Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad.

Menurut Ahmad Zahid, UMNO akan menghormati mana-mana parti yang tidak mengganggu empat teras utama yang terkandung dalam Perlembagaan, iaitu kedudukan Raja-Raja Melayu, Keistimewaan orang Melayu, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, dan Perkara 3 Islam agama persekutuan.

Tegasnya, jika pihak lain menghormati agama Islam, UMNO akan menghormati agama mereka, begitu juga dengan bangsa.

Kata beliau, kerajaan boleh bertukar, tetapi prinsip dalam Perlembagaan tidak boleh ditukar.

“Kita bukan mahu lakukan sesuatu untuk menimbulkan kekecohan politik. Kita mahu supaya dalam empat tiang utama ini jangan sentuh. Insha-Allah, UMNO dan Pas akan terus pertahankan bersama dengan rakan yang lain,” katanya.

Ahmad Zahid juga turut meminta ahli kedua parti di peringkat akar umbi mengenepikan perbezaan fahaman politik yang terbelenggu sejak sekian lama kerana ia sudah terungkai hari ini.

Katanya, UMNO dan Pas kini mempunyai gagasan baharu yang dalam peringkat perbincangan untuk jangka masa panjang rakyat, agama dan negara.

“Ketepikanlah perbezaan di kalangan kita. Cukuplah, Allah telah menguji kita selama 60 tahun untuk perbezaan ini walaupun UMNO dan Pas pernah bersatu tahun pada tahun 70-an.

“UMNO bawah kepimpinan saya dan rakan-rakan lama, ini adalah pembaharuan yang saya lakukan untuk rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast