Seorang warga emas berkerusi roda sambil dibantu petugas SPR hadir pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Kecil N.47 Balakong di Sekolah Menengah Kebangsaan Perimbun, Cheras, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 08 SEPTEMBER 2018

BALAKONG – “Satu angka rendah”. itu reaksi Suruhanjaya Pilihan Raya mengenai peratusan keluar mengundi 25 peratus yang direkodkan di Dewan Undangan Negeri Balakong setakat 12 tengah hari tadi.

Reaksi itu jelas menunjukkan Setiausaha SPR, Datuk Mohamed Elias agak sedih dengan prestasi pengundi pada Pilihan Raya Kecil hari ini.

Walaupun pelbagai pengumuman serta hebahan dalam tiga bahasa mengajak pengundi Balakong keluar menunaikan tanggungjawab pada hari ini, kesemua usaha itu ternyata tidak menampakkan impak berdasarkan peratusan yang direkodkan hari ini.

Dengan nada agak tidak selesa Mohamed Elias masih optimis SPR mampu mencapai sasaran 70 peratus yang disasarkan selepas 5.30 petang nanti.

“Ia satu angkah rendah, ada lima jam setengah untuk melaksanakan tuagas dan tanggungjawab mereka.

“Kami minta kerjasama media pelbagai agensi supaya membuat hebahan mengajak orang ramai keluar mengundi,” katanya kepada pemberita selepas melawat dan memantau Pusat mengundi SMK Cheras Perdana hari ini.

Tambah beliau sejak 8 pagi lagi beliau bersama pegawai SPR telah melawat epat pusat mengundi iaitu bermula dari SJKC Balakong, SMK Perimbun, SMK Bandar Tun Hussein Onn 2 dan SMK Cheras Perdana.

Ujar beliau, segala proses mengundi di kesemua 16 pusat daerah mengundi termasuk empat pusat mengundi yang dilawati beliau berjalan lancar walaupun hujan lebat menjelang tengah hari tadi.

Ditanya lagi mengenai keyakinannya mencapai 70 peratus, beliau berkata, SPR yakin dengan kerjasama tinggi media dan hebahan berleluasa dalam akhbar dan penyiaran televisyen sasaran itu mampu dicapai.

“Kita masih menaruh harapan tinggi ke atas pengundi Balakong supaya keluar menjalankan tugas mereka.

“Untuk PRK DUN Seri Setia dan Balakong SPR bertindak membuat hebahan menerusi stesen dan akhbar menerusi jabatan penerangan van masuk kawasan perimahan buat pengumuman dalam pelbagai bahasa.

“Kami masih ada harapan ke arah 70 peratus itu dengan berbaki lima jam lagi. dengan adanya kerjasama Media kita yakin boleh capai target itu,” katanya. MalaysiaGazette