Perdana Menteri merangkap Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad melambaikan tangan ke arah pengamal media selepas selesai hadir pada Sambutan Ulang Tahun ke-2 Penubuhan PPBM di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 08 SEPTEMBER 2018

SHAH ALAM – Pencapaian Dasar Ekonomi Baru (DEB) tidak memuaskan kerana hanya memberikan peluang dan bantuan kepada orang Melayu, kata Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad. 

Walau bagaimanapun beliau berpendirian dasar tersebut perlu diteruskan terutama untuk mencapai matlamat mengurangkan jurang ekonomi antara kaum.

“Sesungguhnya di bawah Dasar Ekonomi Baru orang Melayu telah diberi banyak peluang dan bantuan supaya mereka dapat meningkatkan kejayaan dalam perniagaan dan perusahaan. 

“Dengan itu perbezaan ketara antara ekonomi mereka dengan kaum lain dapatlah dikurangkan sedikit.

“Namun kejayaan program ini amatlah kecil dan tidak memuaskan. Tetapi keperluan mengurangkan jarak ekonomi antara kaum perlu diteruskan,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Sambutan Ulangtahun Kedua PPBM di Stadium Melawati hari ini. 

Dalam pada itu Perdana Menteri memberi jaminan untuk mencipta dasar baru bagi meningkatkan prestasi yang lebih ketat agar tiada penyalahgunaan berlaku. 

“Kita akan cipta dasar, peluang dan mengadakan kemudahan bagi orang Melayu meningkatkan prestasi mereka.

“Tetapi kali ini kita akan tentukan segala yang diberi kepada orang Melayu tidak akan disalahgunakan oleh mereka.

“Mereka yang berjaya mendapat lesen, AP, kontrak dan lain-lain mesti laksanakan sendiri. Jika dijual atau dipindah kepada orang lain, samada Melayu atau bukan, maka lesen, AP, kontrak akan dibatalkan. Oleh itu hanya mereka yang mampu melaksana sendiri sahaja perlu memasuki tawaran,” ujarnya lagi.

“Sokongan dari Menteri atau pembesar akan diketepikan. Ini termasuk sokongan oleh Perdana Menteri. Penilaian akan berasaskan kepada kewangan, kecekapan dan pengalaman,” menurutnya lagi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast