Noraini Ahmad
Pengerusi PAC, Datuk Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR – “Kerjasama politik yang terjalin diantara UMNO dan Pas adalah pada landasan betul dan tepat dalam perjuangan pembangkang ke arah kesejahteraan rakyat,” kata Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad.

Ahli Parlimen Parit Sulong berkata, ia terbukti menerusi peningkatan undi sekali ganda untuk calon Pas, Dr. Halimah Ali dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Seri Setia semalam berbanding calon Pas dalam PRU14 lalu.

Dalam kenyataan hari ini, katanya wanita UMNO yakin peningkatan undi calon Pas dari 4,563 undi pada PRU-14 kepada 9,698 undi yang diraih oleh Dr. Halimah  telah menterjemahkan kemahuan ahli-ahli dan penyokong kedua-dua parti Melayu terbesar itu untuk menjalin permuafakatan dan persefahaman dalam hari-hari mendatang ini ke arah memperjuangkan nasib orang Melayu dan Islam ke tahap piawaian yang lebih tinggi.

“Peningkatan undi yang diperoleh Pas itu sekali gus memberi petunjuk yang berharga bahawa Pas-UMNO boleh menjalin lebih banyak kerjasama .

“Kerjasmaa itu bukan sahaja di peringkat kepemimpinan parti tetapi secara lebih mendalam dalam kalangan ahli-ahli akar umbi kedua-dua parti,” katanya dalam kenyataan tersebut pagi ini.

Tambah beliau keputusan PRK Seri Setia akan menjadi titik tolak penting dalam menunjukkan keikhlasan peringkat kepemimpinan Pas untuk duduk bersama lagi selepas ini dengan UMNO dalam mencari titik persamaan sepenuhnya terutama apabila mengundang kepemimpinan UMNO dalam Muktamar Tahunan Pas Ke-64 yang akan berlangsung di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus, Sabtu depan.

Apapun sekali jelas beliau PRK Seri Setia dan PRK Sungai Kandis menjadi suatu referendum rakyat yang membuktikan peningkatan jumlah undi masing-masing yang diraih oleh calon PAS dan calon UMNO.

“Peningkatan undi itu diperoleh calon dalam dua PRK berkenaan dalam suasana betapa rakyat tidak puas hati dengan apa yang berlaku terutama membabitkan isu-isu berkepentingan Melayu dan Islam.

“Apatah lagi janji-janji dalam manifesto PH sebelum menjadi kerajaan yang kira-kira 70 peratus masih belum tertunai dalam tempoh 100 hari pentadbiran kerajaan yang berakhir 17 Ogos lalu,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast