Timbalan Menteri Dalam Negeri, Mohd Azis Jamman.
Datuk Mohd Azis Jamman

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Azis Jamman melahirkan rasa kesal tidak terhingga dengan tindakan pegawainya merakam bawah skirt seorang wanita di sebuah kedai cermin mata yang disifatkannya ‘keji dan terkutuk’.

Azis dalam satu kenyataannya berkata, pihaknya memandang serius perbuatan tersebut yang kini sudah menjadi kes siasatan polis dan tindakan memecat pegawai berkenaan telah diambil serta merta.

Jelas Azis yang turut berada di tempat tersebut, beliau tidak menyedari perilaku pegawai terdekatnya itu yang membuat rakaman secara senyap-senyap ketika beliau sedang melakukan pemeriksaan mata di kedai tersebut.

“Saya pandang serius insiden ini, perbuatan ini adalah yang terkutuk dan terkeji. Saya ambil keputusan untuk memecat dia serta merta berkuatkuasa hari ini. Ini kerana kredilibiti serta imej saya selain daripada pejabat Timbalan Menteri terjejas kerana perkara ini,” katanya.

Beliau turut memohon maaf secara terbuka atas salahlaku pegawainya dan menyatakan insiden tersebut tidak ada kena mengena dengan pegawai lain berkaitan dengan diri atau kementeriannya.

“Saya mohon maaf atas tindakan pegawai tersebut dan ini tidak ada kena mengena dengan pegawai-pegawai lain yang bertugas dengan saya, harap maklum,” ujarnya.

Lewat petang tadi kecoh seketika apabila seorang pekerja kedai cermin mata di sini membuat laporan polis terhadap pegawai yang bekerja dengan Azis.

Laporan itu dibuat selepas viral satu video yang didakwa pegawai itu merakam video di bawah skirt seorang staf wanita di premis berkenaan.

Insiden itu dirakamkan menerusi kamera litar tersembunyi (CCTV) di sebuah kedai cermin mata di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur.

Malah tertera pada video berkenaan tarikh 8 September 2018 pada rakaman itu.

Turut tersebar dalam laman sosial ketika ini ialah video satu minit 47 saat di media sosial di mana memaparkan Azis dan pegawainya hadir di kedai cermin mata itu bagi menjalani ujian mata.

Dalam rakaman itu, pegawai tersebut yang memakai baju hijau bertindak mengeluarkan telefon pintarnya dan merakam video video bawah skirt seorang staf wanita berkenaan.

Difahamkan pegawai berkenaan pernah berkhidmat dengan salah seorang naib canselor namun telah dibuang kerana dikaitkan dengan satu kes rasuah. Namun demikian tidak dapat dipastikan sama ada perkara itu diketahui oleh Azis atau tidak. – MalaysiaGazette