Bekas Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak bercakap kepada media ketika menghadiri Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur.foto IQBAL BASRI, 13 OGOS 2018
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendesak agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) memulangkan semula aset yang dirampas dan memulangkannya kepada UMNO.

Ujarnya, aset yang dirampas tiga bulan lalu perlu dipulangkan kepada parti itu  memandangkan tiada pendakwaan kes terhadap beliau.

“Walaupun saya pernah mengulas sedikit sebanyak tentang isu ini kepada beberapa media tempatan, saya pilih untuk membuat penjelasan dengan lebih panjang lebar sekarang kerana walaupun banyak usaha dan rundingan telah dilakukan tetapi PDRM masih tidak mahu kembalikan wang ini kepada parti.

“Ia telah melangkaui tempoh tiga bulan mengikut undang-undang untuk dikembalikan jika tiada dakwaan dibuat mengenai aset yang disita,” kata Najib dalam satu kenyataan hari ini.

PDRM pada Mei lalu, telah merampas sejumlah RM120 juta wang tunai dari Pavilion Residences, dan 284 kotak yang diisi dengan beg tangan berjenama mewah, jam tangan serta barang kemas yang dirampas dari tiga kondominium mewah itu.

Dalam pada itu, Najib menjawab mengenai perihal rampasan dalam bentuk mata wang asing.

“Sebahagian besar wang yang disita ialah dalam matawang Ringgit (termasuk ada satu jumlah ialah dalam wang Singapura kerana satu penyumbang tertentu memilih untuk menderma dalam bentuk ini). Yang dalam matawang asing merupakan jumlah yang kecil,” katanya lagi. -MalaysiaGazette