Tommy Thomas
Tommy Thomas. foto SYAFIQ AMBAK, 04 JULAI 2018

KUALA LUMPUR – Peguam Negara, Tommy Thomas seolah-olah tidak pernah sepi daripada kontroversi sejak memegang jawatan itu sejak tiga bulan lepas malah kini disifatkan antara pengamal undang-undang ‘penakut’.

Itu pendapat bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad yang secara terbuka mengkritik cara Tommy mengendalikan kes-kes berprofil tinggi sehingga ada antaranya ‘terlepas’ begitu sahaja tanpa sebarang dakwaan.

Ia seterusnya menjadi persoalan pelbagai pihak termasuk pro kerajaan.

Tun Abdul Hamid Mohamad
Tun Abdul Hamid Mohamad

Malah, kes yang disabitkan ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkaitan  1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebenarnya sangat mengejutkan apabila secara tiba-tiba Tommy menarik diri  daripada barisan pendakwaan.

Tommy memberi alasan beliau terpaksa menarik diri daripada menjadi Ketua Pendakwa dan melantik bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk Sulaiman Abdullah untuk menggantikan tempatnya kerana mahu menumpukan perhatian sebagai Peguam Negara.

“Tidak pernah dalam sejarah perundangan negara ini peguam negara yang sebelum diangkat sangat tinggi oleh pemimpin Pakatan Harapan mengakui dirinya tidak dapat berdepan dengan beban tugas sehingga wujud konflik melantik peguam persendirian untuk tujuan pendakwaan.

“Ini adalah mata pertama untuk Tommy. Kita mahu tahu adakah benar kerana bebanan tugasan atau hakikat sebenarnya beliau ‘takut’ sangat kerana mempunyai pengalaman dalam pendakwaan. Ini bukan kes untuk mana-mana peguam yang baru mahu ‘belajar’ tentang pendakwaan,” kata Abdul Hamid dalam blognya hari ini.

Jelas beliau, walaupun Tommy sudah diberi tempoh sehingga lapan bulan untuk menyediakan kes itu namun beliau akhirnya bertindak menarik diri.

“Pengamal undang-undang lain ada kalanya hanya diberikan tempoh tidak sampai sebulan. Nama Tommy cukup ‘ternama’ tetapi tiada pengalaman dalam mengendalikan pendakwaan atau kertas siasatan.

“Kerana itu juga Peguam Negara terpaksa melantik pengamal undang-undang yang lain. Sebenarnya, ini satu kerugian buat beliau kerana terlepas peluang keemasan untuk membuktikan kehebatan dirinya sebagai pendakwa dalam sebuah kes paling penting dalam sejarah perundangan negara.

“Saya cuma sangat berharap beliau tidak akan sesekali dikenang sebagai peguam negara yang ‘takut’ sehingga terpaksa mengelak kes seorang bekas Perdana Menteri,” sindirnya.

Dalam pada itu, Tommy juga dikritik kerana pelantikan bekas Hakim Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya bagi penyediaan kertas pendakwaan 1MDB.

“Dari sini kita boleh agak Gopal Sri Ram yang menasihati Tommy untuk jika wujudnya kes prima facie terhadap Najib. Adalah sangat janggal untuk seorang Peguam Negara yang tinggi jawatannya untuk hanya mengharapkan keputusan daripada orang lain dan bukan meneliti sendiri bukti yang ada.

“Seperti yang berlaku sebelum, umum akan mengharapkan Peguam Negara itu sendiri yang meneliti bukti sedia ada dengan bantuan pegawai lain, ini sebaliknya pula,” tambah beliau.

Dakwa Abdul Hamid lagi, jika Tommy tidak meneliti sendiri kertas siasatan, adalah difahamkan beliau tidak akan mengetahui pendakwaannya juga.

“Lantikan Sulaiman dan Gopal Sri Ram sebenarnya telah menjejaskan sistem perundangan negara termasuk bahagian pendakwaan dan seluruh jabatan ini (Jabatan Peguam Negara).

“Yang telah lama berkhidmat dan bertugas berdekad lamanya seolah-olah tidak dipercayai, macam mereka tidak cekap langsung,” jelasnya.

Dalam pada itu, Abdul Hamid juga mengkritik cara kes-kes berprofil tinggi yang kini menjadi kontroversi terutama sejurus selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih.

Antaranya, kes kerajaan Sarawak dan Petronas, kapal mewah Equanimity selain daripada kes-kes pemimpin PH yang rata-ratanya sudah ditarik balik terutamanya kes bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pada minggu lepas

“Sejak diberikan tangungjawab kepada Datuk Hanafiah dari Ogos 2 sehingga September 3 lepas, amat jelas sekali beliau dalam keadaan tertekan berikutan kes ini. Saya rasa sangat ‘kesian’ terhadap Hanafiah.

“Ingin sekali saya tegaskan di sini, dalam tempoh tiga bulan ini, Tommy hanya lebih terkenal dengan apa yang ‘tidak’ dilakukan oleh beliau bukan sesuatu yang telah berjaya dilakukan olehnya,” ujar Hamid. – MalaysiaGazette

ARTIKEL PENUH https://tunabdulhamid.me/2018/09/first-three-months-of-tommy-thomas-as-attorney-general/