Asheeq Ali Sethi Alivi
Asheeq Ali Sethi Alivi

KUALA LUMPUR – “Kami cukup sedih dan kecewa dengan Menteri Pendidikan, Maszlee Malik yang sebelum ini kami anggap sebagai seorang pemimpin yang sangat terbuka tetapi..

“Dasar pintu terbuka yang selalu menjadi laungan beliau sebelum ini namun nampaknya semua itu tidak benar.

“Kami cuba untuk bertemu dan bercakap dengan beliau sejak tiga bulan lepas tapi gagal untuk mengadakan sebarang perbincangan sebelum ini,”.

Demikian luahan mahasiswa merangkap jurucakap Gabungan Pembebasan Akademik IPT, Asheeq Ali Sethi Alivi kepada MalaysiaGazette sebentar tadi.

Malah Ahli Parlimen Simpang Renggam itu yang sebelum ini terkenal dengan keramahan serta kepetahan bercakap itu terutamanya dalam kalangan pelajar dan mahasiswa mengundang rasa kecewa dengan pelbagai isu.

Menurut Asheeq, Maslzee sehingga kini tidak menjawab isu yang dibangkitkan berhubung pelantikan beliau sebagai presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Sekumpulan pelajar serta aktivis yang menggelar diri mereka Gabungan Pembebasan Akademik IPT itu juga bertindak mengadakan bantahan di pejabat menteri pendidikan itu di Putrajaya kelmarin.

“Apa yang sangat mengecewakan kami beliau selaku Menteri Pendidikan yang begitu memahami keadaan kami sepatutnya menjawab isu berbangkit dan bukan sekadar mengalih isu dan bercakap tentang tangkapan dua aktivis kami oleh polis.

“Mengapa tidak jawab tentang bantahan dan motif bantahan yang menyebabkan kami melakukan demostrasi aman sedemikian? Mengapa panjang berjela beliau sekadar bercakap tentang penangkapan dua aktivis itu? Ini adalah helah untuk beliau ‘lari’,” tegasnya.

Tambah Asheeq yang merupakan pelajar tahun akhir jurusan undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), matlamat mereka jelas, pihaknya mahu beliau meletak jawatan atau tidak menerima tawaran tersebut sebagai Presiden UIAM.

Sabtu lepas, Asheeq Ali, 23, bersama Siti Nurizzah Mohamad Tazali, 23, ditahan polis selepas enggan bersurai dari kawasan hadapan pagar masuk utama Parcel E, Putrajaya yang menempatkan beberapa kementerian termasuk Kementerian Pendidikan.

Asheeq dan Nuizzah mengadakan tunjuk perasaan bantah duduk, bersama tidak lebih 10 pelajar dari beberapa universiti, di pejabat Kementerian Pendidikan sejak pukul 8 pagi pada Jumaat dan Sabtu lalu. 

Gabungan Mahasiswa demo depan KPM
Gabungan Pembebasan Akademik IPT mengadakan tunjuk perasaan bantah duduk di pejabat Kementerian Pendidikan di Putrajaya Jumaat dan Sabtu lepas.

Masing-masing juga menegaskan tidak akan sesekali berganjak sehingga Maszlee letak jawatan atau menolak pelantikan sebagai presiden UIAM.

Maszlee dalam satu kenyataan hanya sekadar berkata, pihaknya akan menyiasat lanjut tentang penahanan tersebut.

Beliau turut mengesahkan dirinya tidak dapat mengadakan pertemuan dengan kumpulan mahasiswa itu kerana berada di Sarawak sejak Jumaat untuk lawatan kerja dan sudah memberi arahan kepada pegawainya untuk bercakap dengan mereka.

Asqeeq turut menegsahkan pertemuan tersebut pada Rabu ini dan berharap dapat bertemu Maszlee buat sekian kali bagi memberi jawapan bagi kemelut ini.

“Ada pegawai Maszlee telah menghubungi kami untuk satu pertemuan pada jam 6.30 petang Rabu ini. Kami sangat berharap selepas ini kita akan mempunyai hubungan antara Menteri dan para mahasiswa dalam isu-isu yang dibangkitkan seperti janji beliau sebelum ini.

“Itu adalah matlamat kami dalam pertemuan ini, satu lagi kami tidak mahu campurtangan politik dalam universiti. Beliau perlu membawa pembaharuan ini,” tegasnya.

Rata-rata mahasiswa ini juga mahu Maszlee mencontohi sikap yang ditonjolkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang akur dengan janji PH dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan tidak menjadi Menteri Pendidikan apabila mendapat halangan segelintir pihak.

Tun Mahathir akur dengan akujanji tersebut malah menghormati pandangan pelbagai pihak yang tidak mahu beliau menjawat jawatan tersebut, sebaliknya diberikan kepada Maszlee untuk menerajui kementerian tersebut.

Sebelum ini, Maszlee turut dipersoal bagaimana Penasihat Khas beliau, Wan Saiful Wan Jan dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Maszlee menafikan kedudukan Wan Saiful di PTPTN sebagai lantikan politik, sebaliknya jawatan yang dipegang untuk tempoh terhad menunaikan janji kerajaan PH dalam perkara berbangkit hutang tabung tersebut.

Jumaat lepas, Tun Mahathir turut memberitahu media pihaknya sedang membuat kajian tentang pelantikan Maszlee sebagai Presiden UIAM berikutan tentangan pelbagai pihak termasuk dalam kalangan kepimpinan PH sendiri. – Malaysia Gazette

Asheeq ketika ditahan pihak polis

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast