KUALA LUMPUR – Bekas pegawai Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Azis Jaman yang didakwa merakam bawah skirt seorang wanita menggunakan telefon bimbit di sebuah kedai cermin mata ditahan di Solaris Dutamas, Sri Hartamas, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP R Munusamy berkata lelaki berusia 47 tahun itu ditahan 1 tengah hari tadi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan .

“Suspek ditahan untuk siasatan terlebih dahulu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, dilaporkan Azis memecat seorang pegawainya susulan perilaku keji individu berkenaan di sebuah kedai cermin mata.

Azis dilaporkan berkata beliau memecat pegawai tersebut serta-merta selepas mengambil maklum akan laporan polis serta rakaman kamera litar tertutup berhubung perilaku individu berkenaan yang ditularkan oleh netizen.

Katanya perbuatan individu tersebut menjejaskan imej dan kredibiliti beliau selaku Timbalan Menteri Dalam Negeri serta Pejabat Timbalan Menteri.

Klip video berdurasi lebih satu minit yang memaparkan perilaku pegawai berkenaan merakam video di bawah skirt petugas wanita di sebuah kedai cermin mata tular menerusi media sosial.- BERNAMA