KUALA LUMPUR – Selang dua hari selepas ‘mengamuk’ dalam laman sosial Twitter, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua sekali lagi mengeluarkan kenyataan pedas berhubung ‘konflik’ dalaman parti berkenaan.
Kali ini, Tian Chua seperti yang dilaporkan Berita Harian berkata, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli bukan ‘sesiapa’ dalam parti yang mempunyai kuasa atau untuk membuat tentang pengumuman pengosongan kerusi Parlimen untuk memberi laluan kepada Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim.
Malah jelas Tian Chua, perkara itu sepatutnya dibincangkan terlebih dahulu dalam mesyuarat kepimpinan parti terlebih dahulu sebelum membuat sebarang pengumuman penting seumpama itu.
“Siapa Rafizi untuk umum? Datuk Seri Wan Azizah pula ‘terpaksa’ mengesahkan apa yang sudah diumumkan oleh Rafizi?
“Isunya adalah, tiada sesiapa pun tahu ada langkah sebegitu dengan mengosongkan kerusi Parlimen adakah sama seperti ‘Langkah Kajang’, tiada sesiapa yang tahu,” soalnya.
Kata Tian Chua, perkara penting dan keputusan seperti itu sebenarnya perlu perbincangan dengan kepimpinan tertinggi dalam parti sebelum membuat sebarang keputusan dan bukan main ‘sorok-sorok’.
“Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) perlu dimaklumkan kerana Anwar akan menjadi Ketua PH dan bakal menjawat jawatan nombor satu negara sebagai Perdana Menteri, ini bukan perkara remeh dan kita tidak boleh perkecilkan peranan Anwar begitu sahaja.
“Rafizi tidak berhak buat pengumuman dan tidak berhak pergi merata tempat seolah-olah dia seorang yang buat keputusan segala-galanya,” tegasnya.
Persoalan sama turut dilahirkan oleh Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin yang mengesahkan tidak ada sebarang perbincangan dibuat sebelum pengumuman oleh Rafizi baru-baru ini.
Sabtu lepas, Tian Chua melepaskan ‘amarahnya’ melalui laman Twitter dengan mempersoal pemimpin tertentu dalam parti yang menganggap diri mereka ‘kingmaker’.
Tian Chua menyoal siapakah itu yang secara suka hati mengangkat diri sebagai ‘kingmaker’ dan mengaku dirinya bertanggungjawab untuk setiap apa yang berlaku dalam parti PKR.
Selain itu, soal Tian Chua, berapa kali lagi pemimpin itu mahu berterusan ‘menyeret’ PKR dalam kemelut sama seperti perancangan ‘Langkah Kajang’ sebelum ini.
“Berapa kali anda mahu heret parti ke dalam ‘lumpur’ seperti Langkah Kajang sebelum ini? Siapakah ini yang sentiasa meletakkan dirinya sebagai ‘kingmaker’ untuk segala apa yang berlaku?” soalnya.
Walaupun beliau tidak menyebut mana-mana pihak atau nama pemimpin tertentu dalam twitter beliau namun umum boleh meneka berkemungkinan besar merujuk kepada Rafizi yang sentiasa kuat menyokong kepimpinan Anwar Ibrahim selama ini.
Terdahulu, Rafizi membuat pengumuman satu kerusi Parlimen akan dikosongkan pada minggu hadapan untuk memberi laluan kepada Anwar Ibrahim bertanding dalam masa terdekat.
Rafizi turut memberi gambaran antara kerusi tersebut termasuk Selayang, Sungai Petani dan Sungai Siput ketika ceramah Reformasi 2.0 di Kota Bharu Jumaat lepas sebelum ‘disahkan’ oleh Wan Azizah dan Anwar Ibrahim keesokan harinya. – Malaysia Gazette