Daim Zainuddin
Daim Zainuddin

KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin dijadual akan bertemu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) esok.

Pertemuan itu adalah berkaitan transaksi tanah meragukan di ibu negara yang berlaku ketika pentadbiran kerajaan lalu.

“(Transaksi) tanah di Kuala Lumpur ini (yang meragukan), ada lebih kurang 91 kawasan. Ada bandaraya (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur – DBKL) bagi, ada pejabat tanah bagi.

“Kita dah siasat semua dan sudah hantar kepada SPRM. Esok, SPRM akan jumpa saya. Jika ada kesalahan (dalam transaksi tanah), SPRM akan ambil tindakan.

“Saya juga sudah bincang dengan Menteri Wilayah, sama ada nak ambil balik (tanah itu). Ada juga pihak yang sanggup serah balik (tanah kepada kerajaan), contohnya ada satu syarikat yang dapat lapan (lot tanah),” katanya.

Daim berkata demikian mengulas soalan seorang peserta yang bertanya mengenai transaksi tanah meragukan di ibu negara yang dikatakan berkait rapat dengan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng dan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh, sebelum ini membuat laporan bagi menggesa SPRM menyiasat penjualan 64 lot tanah yang dibuat DBKL antara 2014 hingga 2018.

Laporan itu antara lain turut menggesa pengurusan tertinggi Yayasan Wilayah Persekutuan yang didakwa terbabit dalam pembelian tanah itu disiasat SPRM berhubung peranannya dalam penjualan tanah berkenaan.

Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad turut pernah menyatakan cadangan oleh jawatankuasa khas yang ditubuhkan bagi meneliti isu penjualan 64 lot tanah oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur tanpa tender terbuka itu akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. – MalaysiaGazette