Darell Leiking

KUALA LUMPUR – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Darell Leiking akan menyertai Forum Ekonomi Dunia (WEF) mengenai ASEAN 2018 yang akan diadakan pada 11 hingga 13 September 2018 di Hanoi, Vietnam.

WEF adalah organisasi antarabangsa yang bebas untuk kerjasama awam-swasta, yang diwujudkan sejak empat dekad lalu dengan misi untuk memperbaiki keadaan ekonomi dunia.

Selain mesyuarat tahunan di Davos pada bulan Januari, WEF juga menganjurkan pertemuan di peringkat serantau.

Forum yang dianjurkan di Hanoi ini menawarkan platform yang ideal untuk kerjasama yang lebih baik antara industri, kerajaan dan masyarakat awam dalam membentuk masa depan dan memanfaatkan potensi penuh ASEAN yang memiliki penduduk seramai 640 juta orang yang mana lebih daripada separuh berusia di bawah 30 tahun.

Tema tahun ini adalah ASEAN 4.0: Keusahawanan dan Revolusi Perindustrian Keempat”, di mana para peserta akan menangani isu-isu strategik di tiga tonggak utama iaitu Keusahawanan untuk Kraf
Pendekatan Baru terhadap Tadbir Urus Serantau dan Global; Keusahawanan untuk Memacu Ekonomi dan Dinamik Perniagaan dan Keusahawanan untuk membentuk Inklusif Sosial.

Kira-kira 900 peserta termasuk ketua negara/kerajaan, wakil kerajaan, pemimpin korporat global dan syarikat
permulaan dijangka menghadiri Forum ini di Vietnam.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, Darell telah dijemput oleh WEF untuk mengambil bahagian dalam beberapa sesi, mesyuarat dua hala dan Menteri-Menteri Perdagangan, syarikat-syarikat berasaskan Malaysia di Vietnam dan syarikat-syarikat global yang menghadiri Forum seperti Google, Nissan, Shire, IBM dan Agility.

Beberapa syarikat-syarikat tempatan turut menyertai forum itu termasuk CIMB Group, Air Asia, Petronas, Axiata, Astro, UEM Edgenta dan Catcha Group. – MalaysiaGazette