Tun Hanif Omar

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Hanif Omar sekali lagi menegaskan dakwaan cubaan pemisahan tanah Semenanjung kepada dua bahagian untuk orang Melayu dan Cina bukan sesuatu yang sengaja diada-adakan.

Sebaliknya, menurut beliau, pihaknya hanya bertindak selepas menerima hasil laporan oleh bahagian risikan polis Cawangan Khas (SB) ketika itu.

Beliau yang ditemuramah oleh Sinar Harian hari ini mendedahkan tindakan mempertahankan kenyataannya itu berasaskan laporan yang telah diberikan oleh SB kepada pihak berkuasa.

Hanif Omar mendedahkan, seorang pemimpin DAP mengusulkan cadangan pemisahan itu di Eropah selepas peristiwa 13 Mei 1969.

“Maklumat berhubung perkara serius seperti itu sampai kepada saya melalui cawangan risikan. Dan ketika itu, Ketua Polis Negara adalah Tun Mohamed Salle Ismael. Beliau memberikan taklimat setiap minggu, cawangan risikan pula hantar laporan kepada saya.

“Saya juga melaporkan kepada Tun Abdul Razak yang ketika itu adalah Perdana Menteri Kedua,” katanya.

Hanif Omar mempertahankan dakwaan kontroversi yang dibuat olehnya pada satu majlis di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam Ahad minggu lalu.

Walaupun dalam wawancara ini beliau tidak menamakan siapakah pemimpin DAP itu namun pada 6 September lepas Hanif Omar membuat pendedahan  beliau bertindak menahan ahli politik veteran DAP, Lim Kit Siang selama 18 bulan selepas dakwaan cadangan memisahkan semenanjung itu dibuat.

Bagaimanapun, Kit Siang menafikan dakwaan itu keesokannya dan memberi masa 48 jam untuk Hanif Omar memohon maaf.

Peguam Kit Siang yang juga merupakan Ahli Parlimen Gelugor, Ramkarpal Singh dijangka memfailkan saman fitnah esok selepas Hanif Omar enggan memohon maaf.

Namun demikian, dalam wawancara hari ini, Hanif bagaimanapun menjelaskan beliau mengarahkan penahanan Lim ketika Ops Lalang 1987 dan bukan susulan peristiwa 13 Mei.

“Dalam ucapan itu, saya cakap pasal komunis, lepas itu perkauman, bila mulanya. Melayu dengan Cina tidak pernah bergaduh sebelum itu.

“Pada 1987 ada Operasi Lalang, Kit Siang antara yang ditahan oleh saya ketika saya menjadi Ketua Polis Negara. Itu yang saya maksudkan, bukan saya arahkan dia ditahan pada 1969,” tegasnya.

Dalam pada itu, Hanif Omar juga menafikan dirinya dengan sengaja berniat untuk memburukkan DAP dalam ucapannya minggu lalu, tetapi lebih kepada perkongsian. – MalaysiaGazette