KUALA LUMPUR – Sesuai dengan gelaran ‘Mutiara Lautan Hindi’ – Sri Lanka yang bentuk muka buminya sedikit kecil daripada Semanjung Malaysia menyimpan seribu satu tarikan yang masih tidak terusik dan diterokai sepenuhnya.

Hanya beberapa negara di dunia yang mampu menawarkan kombinasi lankskap, suasana pantai yang cantik dan warisan negara yang masih terpelihara seperti ini.

Meskipun Sri Lanka bukanlah destinasi popular seperti London, Australia, Phuket atau Bali, namun mereka yang pernah ke negara seluas 65,610 kilometer persegi itu pastinya menyebut ‘wow’ dan mahu kembali ke negara itu.

Tarikannya tidak hanya terhad pada panorama yang menakjubkan, bahkan banyak lokasi yang menyimpan nilai-nilai sejarah dan kebudayaan tempatan yang sangat berharga.

Pengerusi Biro Promosi Pelancongan Sri Lanka, S. Devan berkata, masyarakat Islam tidak perlu bimbang mengenai makanan halal kerana lebih 50,000 daripada penduduk Sri Lanka adalah beragama Islam.

Menakjubkan lagi katanya, mungkin ramai di antara penduduk Malaysia yang tidak mengetahui mengenai kewujudan perkampungan Melayu di Sri Lanka

“Uniknya, mereka masih boleh bertutur dalam bahasa Melayu serta mengekalkan adat Melayu dalam upacara tradisi mereka.

“Pun begitu, lenggok bahasa dan cara percakapan bukanlah seperti rakyat Malaysia kerana ada campuran dan mengalami evolusi bahasa-bahasa lain,” katanya pada sidang media Sri Lanka Tourism Extravaganza di Malaysia anjuran Kedutaan Sri Lanka dengan kerjasama Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) di sini baru-baru ini.

Majlis yang dihadiri oleh lebih 500 pegawai diplomatik, ahli perniagaan dan para akademik Sri Lanka itu dirasmikan bersama oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Bakhtiar Wan Chik dan Menteri Pembangunan Pelancongan, Hal Ehwal Agama Kristian dan Tanah Sri Lanka, John Amaratunga.

Turut hadir Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka ke Malaysia, A.J.M. Muzammil.

Devan memberitahu, komuniti Melayu di Sri Lanka dikatakan wujud lebih 250 tahun lalu melalui penghijrahan penduduk Indonesia dan Tanah Melayu dan populasinya kini semakin meningkat.

Selain itu katanya, kewujudan Malay Street, Java Lane dan Jalan Padang turut membuktikan kewujudan kukuh bangsa Melayu di Sri Lanka.

Difahamkan bagi mengukuhkan kerjasama sesama masyarakat Melayu, Persatuan Melayu Sri Lanka turut ditubuhkan pada 1922 dan diterajui oleh M.K Saldin sehingga awal tahun 1942.

Devan memberitahu, pada tahun lalu sahaja, seramai 75,000 rakyat Malaysia mengunjungi negara itu dan menyasarkan jumlah itu meningkat tahun ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast