Tikus yang ditemui dalam sup di restoran popular di China. foto SCMP

BEIJING – Sebuah restoran popular di timur China diarah tutup selepas seorang wanita mengandung menemui tikus mati dalam hidangannya.

Pihak berkuasa Weifang telah menggantung operasi restoran popular Xiabu Xiabu dalam kejadian terkini skandal keselamatan makanan di negara itu.

Seorang lelaki yang dikenali sebagai Ma berkata, dia dan keluarganya makan di restoran itu pada Khamis lalu.

Selepas beberapa kali kunyahan isterinya menemui tikus mati dalam sup yang dihirupnya.

Media Kankan berpangkalan di Shanghai yang memetik Ma sebagai berkata, pekerja restoran berkenaan memaklumkan jika Ma khuatir dengan tahap kesihatan bayi yang dikandung isterinya, restoran itu akan memberi wang sebanyak 200,000 yuan (AS$3,000) untuk menggugurkannya.

Malah, Ma mendakwa restoran itu menawarkan pampasan sebanyak 5,000 yuan, bagi rundingan selepas isterinya selesai mengadakan pemeriksaan hospital.

Pihak berkuasa Weifang mengesahkan telah menerima aduan mengenai tikus mati dalam sup pada hari Jumaat.

Hasil serbuan, berkilo-kilo daging yang luput tarikh dan ikan tanpa label telah dirampas.

Dalam pemeriksaan yang dibuat, tiada tikus ditemui tetapi pegawai kesihatan mendapati kebersihan air dalam kawasan memproses makanan dan terdapat bekalan sayur tidak menepati piawaian.

Xiabu Xiabu dibuka pada tahun 1998 dan disenaraikan dalam pasaran Hong Kong pada tahun 2014.

Ia memiliki 759 buah cawangan di China termasuk di Beijing, Shanghai dan Tianjin. – MalaysiaGazette