KUALA LUMPUR- Keputusan untuk mengadakan “Langkah Port Dickson” iaitu mengosongkan kerusi Parlimen tersebut bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dalam pilihanraya kecil telah diputuskan oleh biro politik PKR.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifudin Nasution Ismail berkata, biro tersebut turut dianggotai oleh Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamarudin dan Naib Presiden PKR, Tian Chua; dua pemimpin parti yang lantang mengkritik langkah tersebut.
“Proses memutuskan kerusi mana yang harus dikosongkan dan sebagainya telah diputuskan oleh biro politik yang mana turut dianggotai oleh Zuraida dan Tian Chua.
“Mesyuarat biro politik diadakan pada setiap Selasa pada jam 8.30 malam dan kami membincangkan pelbagai isu dari isu-isu semasa sehinggalah kepada menjadikan Datuk Seri Anwar menjadi bakal Perdana Menteri mengikut perundangan.
“Beliau perlu menjadi seorang Ahli Parlimen terlebih dahulu dan pilihanraya kecil perlu menjadi salah satu proses mengikut undang-undang bagi tujuan tersebut,” katanya semasa sidang media selepas menyampaikan Anugerah Harta Intelek Negara di sini hari ini.
Ketika ditanya mengenai kemungkinan PRK Port Dickson bakal diboikot oleh sekutu-sekutu PKR dalam Pakatan Harapan, Saifudin menjelaskan, beliau telah berjumpa dengan ketua-ketua setiap parti dan mereka menyatakan sokongan terhadap PRK tersebut.
“Sebelum memenangi PRU-14, kami telah berjanji kepada rakyat bahawa sekiranya Pakatan Harapan menang, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan dilantik sebagai Perdana Menteri manakala Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.
“Anwar pula akan dilantik sebagai Perdana Menteri selepas itu. Ketika ini, dua daripada janji tersebut telah ditunaikan dan tinggal satu sahaja lagi iaitu melaksanakan proses demokrasi dan mengikut perlembagaan negara bagi menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri,” katanya lagi.-MalaysiaGazette