PELABUHAN KLANG – Pengosongan kerusi P132 Parlimen Port Dickson yang dibuat oleh penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah adalah mengikut saluran betul melalui beberapa siri perbincangan dalam Biro Politik PKR.
Naib Presidennya, Shamsul Iskandar Md Akin berkata walaupun beliau selaku anggota Biro Politik tidak hadir semasa perbincangan itu dilakukan, namun pimpinan yang hadir telah membuat keputusan itu.
“Saya difahamkan ada perbincangan di peringkat Biro Politik parti tentang perkara ini (bincang) dan pengumuman telah dibuat dan saya fikir itu tidak lagi jadi satu isu
“Danyal juga telah mengumumkan peletakkan jawatan beliau dan Speaker Dewan Rakyat pun telah maklum mengenai kekosongan kerusi.
Oleh kerana pengumuman itu telah dibuat selepas perbincangan Biro Politik, saya fikir itu telah diputuskan oleh pimpinan yang hadir
Saya berpendirian bahawa pengumuman untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di Port Dickson ini sewajarnya kita alu-alukan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin semalam yang mendakwa langkah pengosongan kerusi P132 Parlimen Port Dickson tidak mengikut saluran yang betul.
Zuraida berkata, setiap keputusan perlu dilaksanakan secara musyawarah untuk mendapat sokongan seluruh anggota parti dan konsensus yang dicapai perlu selari dengan semangat reformasi dan demokrasi.
Shamsul Iskandar juga berkata, Anwar juga telah mengadakan perbicangan dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum pengumuman kerusi itu dibuat oleh Setiausaha Agungnya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.
“Oleh kerana perbincangan telah berlaku dan keputusan telah dimaklumkan bahawa Port Dickson merupakan tempat yang beliau bercadang untuk bertanding.
“Jadi saya fikir sebagai pimpinan dan anggota parti sewajarnya kita mengalu-alukan dan turun dengan sepenuh kekuatan parti PKR.
“Kita jadikan PRK Port Dickson ini medan untuk menegaskan komitmen dan sokongan kita kepada Datuk Seri Anwar yang telah dinafikan haknya sekian lama dan sekarang ini beliau kembali ke persada politik setelah diberikan pengampunan.
“Saya fikir keberadaan Datuk Seri Anwar dalam Parlimen satu perkara yang dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette