Emmanuel Macron. foto Agensi

PARIS – Presiden Perancis, Emmanuel Macron merancang memperuntukkan sebanyak 8 bilion euro untuk menangani kemiskinan.

Macron, digelar presiden kaya selepas melaksanakan pemotongan cukai untuk golongan kaya dan syarikat-syarikat.

“Pelan basmi kemiskinan sejumlah 8 bilion euro itu akan digunakan sepanjang empat tahun,” menurut jurucakap kerajaan, Benjamin Griveaux.

Menurutnya, langkah itu adalah pilihan politik selepas kerajaan memberi perhatian penuh terhadap perbelanjaan awam.

Bagaimanapun, Griveaux tidak menjelaskan punca dana yang akan digunakan untuk tujuan tersebut – sama ada daripada dana baharu atau bajet.

Pelan kemiskinan Macron, yang telah ditangguhkan sekali dan kini akan dilaksanakan ketika beliau berusaha untuk meyakinkan para pengundi bahawa agenda reformasinya tidak hanya memberi faedah kepada golongan kaya dan ahli-ahli perniagaan.

Griveaux tidak memaklumkan agaimana wang itu akan dibelanjakan tetapi kerajaan merancang beberapa langkah untuk rakyatnya bekerja dan mendapat pekerjaan lebih baik.

Walaupun pelbagai program kebajikan telah dilaksanakan selama dua dekad yang lalu, Griveaux berkata, kerajaan masih gagal mencari sebab-sebab kemiskinan. – MalaysiaGazette