Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Meskipun nilai mata wang dalam keadaan tidak menentu, Menteri Kewangan berkata, ringgit telah menunjukkan prestasi amat baik di antara mata wang utama dunia meskipun kedudukannya tidak menentu.

Sejak akhir tahun 2017, nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat hanya menurun sebanyak 2.2 peratus setakat 11 September 2018.

Lim Guan Eng berkata, prestasi ringgit jauh lebih baik berbanding mata wang negara-negara lain seperti dolar Australia yang menyusut 9.9 peratus, rupiah Indonesia (9.8 peratus). yuan China (5.6 peratus), won Korea Selatan (5.7 peratus) dan dolar Singapura (3.0 peratus).

Guan Eng berkata, nilai kenaikan ringgit tidak hanya ditentukan oleh harga minyak mentah semata-mata.

Menurunya, kekuatan relatif ringgit Malaysia berbanding dengan kebanyakan mata wang utama dunia menunjukkan betapa ramai pelabur tempatan dan antarabangsa yakin
terhadap Malaysia sungguhpun berlakunya perubahan kerajaan pada Pilihan raya
Umum Ke-14.

Katanya, kerajaan yakin kedudukan nilai mata wang ringgit hanya akan bertambah baik dalam jangka masa sederhana selepas masalah-masalah hutang dan skandal 1Malaysia Development Berhad selesai.

Guan Eng mengeluarkan kenyataan tersebut bagi menjawab kebimbangan Najib tentang kejatuhan nilai mata wang tempatan itu.

Semalam, Najib berkata, secara amnya ringgit akan mengukuh selari dengan prestasi harga minyak dunia.

Tetapi, apabila harga minyak naik dan ringgit semakin menyusut, situasi itu amat menggusarkan.

Malah, secara sinis, Najib berkata, sebelum PRU, pemimpin Pakatan Harapan berkata, apabila beliau turun, ringgit akan meningkat tetapi apa yang berlaku sekarang menggusarkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast