JOHOR BAHRU – Timbalan Pengerusi MCA Johor Datuk Tee Siew Kiong hari ini mengumumkan hasrat untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden MCA pada pemilihan parti November ini.
Tee berkata beliau bersedia menggalas tanggungjawab tersebut bagi mengembalikan semula maruah MCA yang mengalami kekalahan terburuk pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Mei lepas.
“Saya secara rasminya mengumumkan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden Parti MCA peringkat kebangsaan bersempena penamaan calon pada 15 Okt akan datang agar membolehkan anggota parti dan rakyat merasai tekad MCA yang kuat dalam mentransformasikan parti,” katanya pada perjumpaan bersama Ketua-Ketua Bahagian MCA Johor di sini.
Tee yang merupakan bekas Anggota Dewan Undangan Negeri Pulai Sebatang selama tiga penggal bermula 2004, berkata beliau bertanding jawatan itu kerana mahu memanfaatkan pengalamannya selama 35 tahun dalam MCA bagi membantu mengembalikan kegemilangan parti.
Sekiranya parti MCA mahu bangkit semula dan mengembalikan kegemilangan seperti dahulu, maka, titik permulaan terbaik adalah dari Johor seterusnya menuju seluruh negara, katanya.- BERNAMA