Warga lelaki Korea Selatan dikehendaki menjalani khidmat tentera selama dua tahun sebelum usia mencapai 28 tahun. foto RTE

SEOUL – Seramai 12 orang graduan sebuah kolej di sini didakwa mahu melepaskan diri daripada mengikuti khidmat mandatori ketenteraan dengan meningkatkan berat badan, sekaligus gagal ujian fizikal.

Kesemua mereka didakwa makan makanan tinggi kalori seperti piza dan burger lima kali sehari untuk menjadi obes.

Berat badan mereka meningkat 30 kilogram dalam tempoh enam bulan, menurut Pentadbir Kakitangan Ketenteraan.

Di bawah Undang-Undang Khidmat Tentera, semua lelaki Korea Selatan perlu berkhidmat selama dua tahun dalam tentera sebelum berusia 28 tahun.

Sebelum disenaraikan, calon perlu menjalani ujian fizikal untuk memastikan mereka layak.

Lelaki yang mendapat skor di bawah empat daripada tujuh mata, dikira tidak layak untuk khidmat tersebut.

Bergantung kepada jenis cabaran fizikal, mereka boleh dikecualikan atau ditugaskan untuk bekerja dalam masyarakat melalui program perkhidmatan alternatif.

Kes yang disiasat itu mendapati, lelaki-lelaki itu berharap dapat ditugaskan untuk program alternatif itu kerana mereka akan mempunyai masa untuk menyanyi selepas bekerja.

Pihak berkuasa berkata, kesemua lelaki terbabit yang merupakan vokalis dari kolej sama di Seoul dalam jurusan muzik telah berkongsi strategi mendapatkan berat badan melalui ruang sembang kumpulan KakaoTalk.

Menurut penemuan forensik digital, mereka mengambil makanan tinggi kalori, protein, suplemen dan minum banyak jus aloe untuk mengekalkan berat air.

Kementerian Pertahanan berkata, kes itu dirujuk kepada pendakwaan, jika didapati bersalah kesemua mereka akan dipaksa khidmat selama dua tahun termasuk dua lelaki yang sudah menamatkan program alternatif. – MalaysiaGazette