Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bercakap kepada media pada hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Balakong di Dewan Utama Demesne Pejabat Daerah Tanah Hulu Langat, Bandar Baru Bangi, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 18 OGOS 2018
Lim Guan Eng. foto AFFAN FAUZI

KUALA LUMPUR – DAP memberi sokongan penuh terhadap langkah Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kembali ke Parlimen dengan bertanding di kerusi Parlimen Port Dickson.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, ‘kepulangan’ Anwar ke Parlimen sudah lama ‘tertangguh’ apabila beliau secara tidak adil dihalang daripada bertanding pada 2015 susulan sabitan dengan jenayah liwat.

“Langkah Anwar untuk bertanding di Port Dickson datang pada masa yang kritikal dalam usaha menegaskan semula serta memperkuat jiwa Malaysia sebagai yang demokratik, menghormati aturan undang-undang, menegakkan integriti dalam kepemimpinan, keadilan sosial dan ekonomi, bertolak ansur, meraikan kepelbagaian dan keterangkuman.

“Visi perpaduan ini merangkumi semua kaum dan agama serta setiap wilayah geografi yang berbeza dengan pembangkang, yang mengamalkan chauvinisme etnik terhadap masyarakat minoriti India dan Cina, perkauman terhadap pengabaian kumpulan minoriti dan ekstremisme agama yang mahu mengharamkan segalanya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Guan Eng menegaskan, DAP dan Pakatan Harapan akan menyokong Anwar kerana beliau akan mewakili visi gabungan politik itu dalam membina negara dan perpaduan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. – MalaysiaGazette