Syamsul Firdaus Mohamed Supri.
Ahli Dewan Undangan Negeri Taman Medan, Syamsul Firdaus Mohamed Supri bercakap pada majlis Pelancaran Pejabat Bergerak Parlimen Petaling Jaya di Dewan MBPJ, Taman Sri Manja, Petaling Jaya. foto SYAFIQ AMBAK, 15 SEPTEMBER 2018.

PETALING JAYA – Penglibatan ahli keluarga dalam pentadbiran adalah perkara biasa, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Syamsul Firdaus Mohamed Supri.

Namun beliau menafikan ia merupakan bentuk dinasti atau nepotisme yang berlaku, sebaliknya menyifatkannya sebagai satu kelebihan.

“Saya rasa banyak dalam struktur organisasi yang mana ada pembabitan keluarga tapi maknanya ia tidak ada satu rangkaian.

“Ia bukan dinasti, mungkin digelar begitu tapi bukan lebih kepada kelebihan, ketokohan,” katanya kepada pemberita ketika sidang media selepas pelancaran Pejabat Gerakan Parlimen Petaling Jaya hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai reaksi pelbagai pihak terhadap keberadaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ahli Parlimen Port Dickson jka memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) bersama-sama isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah (Pandan) dan anak perempuannya, Nurul Izzah (Permatang Pauh).

Bagaimanapun tambah beliau, perkara yang tidak patut berlaku memandangkan anak-beranak ini masing-masing memegang jawatan dalam pentadbiran kerajaan semasa.

“Tidak ada masalah jika tiga beranak jadi Ahli Parlimen tapi tidak boleh tiga beranak jadi menteri,” tabahnya. – MalaysiaGazette