Gambar hiasan

KUALA LUMPUR _ Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua lelaki kerana disyaki terbabit dalam politik wang bagi pemilihan pemimpin cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Kedah, semalam.

Suspek pertama berusia 48 tahun ditahan pada 12.20 tengah hari di sebuah restoran di Alor Setar.

Sementara suspek kedua berusia 46 tahun ditahan pada 3.25 petang di Plaza Tol Pendang Lebuhraya Utara-Selatan.

Sumber berkata, kedua-dua suspek didakwa meminta wang suapan berjumlah RM20,000 daripada seorang lelaki sebagai dorongan agar namanya yang sudah didaftarkan untuk pemilihan parti dikekalkan di dalam sistem, sekaligus layak untuk bertanding.

Suspek terbabit sebelum itu memaklumkan kepada lelaki terbabit bahawa namanya dan beberapa individu lain akan digugurkan daripada senarai nama calon namun boleh dikekalkan jika membayar suapan berkenaan.

Berikutan penahanan itu, SPRM turut merampas wang tunai berjumlah RM10,000 daripada kedua-dua suspek.

Pengarah SPRM Kedah, Datuk Mohd Fauzi Mohamad, ketika dihubungi, mengesahkan mengenai penahanan itu.

“Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar pagi ini bagi tujuan permohonan reman.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009,” kata sumber tersebut. – MalaysiaGazette