KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan diterajui Pakatan Harapan harus menyegerakan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tanpa sebarang alasan atau pun sebab untuk melengah-lengahkannya.

Ahli Parlimen Kimanis Datuk Seri Anifah Aman berkata, beliau mengalu-alukan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa kerajaan Pusat bersetuju mengembalikan status rakan sekutu kepada Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam MA63 yang merupakan asas pembentukan Malaysia 55 tahun lalu.

Sebagai warga Sabah dan wakil rakyat Kimanis, katanya, beliau teruja dengan pengumuman Perdana Menteri itu sekali gus menyatakan kesediaannya memberi kerjasama penuh dalam perkara itu.

“Saya juga menyeru ahli Parlimen lain turut menyokong pelaksanaan itu yang akan dibentangkan di Parlimen kelak.

“Inilah yang kita di Sabah dan Sarawak telah memperjuangkan selama ini dan percaya rakan pembangkang saya di Sabah dan Sarawak bersedia untuk menyokong cadangan ini demi kesejahteraan dan keharmonian rakyat kita,” kata dalam kenyataan di sini.

Berhubung pembayaran royalti minyak, katanya, kerajaan Persekutuan harus mengambil tindakan sewajarnya dalam mengiktiraf niat dan semangat MA63.

“Hanya selepas mempersetujui perkara itu, rundingan boleh diadakan menentukan jumlah bayaran.

“Ia harus dilaksanakan demi manfaat rakyat sabah dan Sarawak,” tegas beliau.- MalaysiaGazette