Ketua Pemuda UMNO, Datuk Ashraf Wajdi Dusuki bercakap pada sidang media selepas selesai mempengerusikan Mesyuarat Exco Pemuda UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 17 SEPTEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki membidas kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyifatkan parti itu menyelamatkan UMNO.

Ujarnya, sejarah membuktikan bahawa UMNO telah memerintah negara selama lebih 60 tahun, malah berpakaian Islam lebih dari pemerintahan parti itu selama ini.

“Saya tidak ingat kalau Pas yang menerajui negara dari segi Islam. Tapi hakikatnya yang terajui Islam selama 60 tahun adalah UMNO.

“Kita boleh bercakap kepada ahli segala andaian dan gambaran tetapi akhirnya sejarah tetap sejarah.

“Kami boleh kata nasib baik UMNO ada kerana memerintah negara selama 61 tahun. Tidak siapa boleh nafikan kecemerlangan Islam sehingga dinobatkan sebagai model negara Islam yang progresif dan negara Islam yang bersifat seimbang dan cemerlang. Siapa pemimpin selama 60 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikan pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ketiga Pergerakan Pemuda UMNO di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Asyraf berkata demikian ketika ditanya mengenai Tuan Ibrahim bahawa Pas telah menjadi pelampung yang menyelamatkan UMNO daripada hanyut.

Dalam pada itu, Asyraf berkata, Pergerakan Pemuda telah menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk teliti dan menilai kerjasama dengan Pas.

Ini kerana wujud rasa kurang senang dalam kalangan ahli Pemuda dengan kerjasama yang dijalinkan antara kedua-dua parti berkenaan.

“Kita tidak boleh harap akan keajaiban setelah 40 tahun kita berpecah dan bergaduh.

“Kami di peringkat pemuda ada yang tidak selesa. Ada suara yang sindir dan menidakkan keislaman UMNO dan cuba memperlekehkan perjuangan Islam yang UMNO pelopori selama 60 tahun.

Pasukan Khas ini akan dipengerusilan Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Suffian Hamdan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast