KUALA LUMPUR – Pemimpin PKR, Latheefa Koya yang tidak berpuas hati dengan pengumuman pengosongan kerusi Parlimen Port Dickson baru-baru ini terus menggunakan media sosial sebagai tempat menyuarakan ketidakpuasan hatinya.

Pengamal undang-undang itu hari ini menerusi Facebooknya berkata, perkara yang sepatutnya dilakukan adalah membantu menyelamatkan negara bukan menuntut jawatan.

Tambahnya, perkembangan terkini dalam negara bukan hanya tentang  penderitaan dan sebuah keluarga sahaja.

“Ini bukan tentang penderitaan, bukan tentang naik turun dalam dunia politik untuk satu keluarga sahaja.

“Ribuan rakyat bergelut demi keadilan dan kebebasan, ada yang pernah ditahan, diserang, dipukul dan dikurung… Semua wira ini yang berhadapan dengan bahaya dan merisikokan diri tidak menganggap negara berhutang kepada mereka. Mereka tidak meminta apa-apa, mereka tidak menghebohkan tentang pengorbanan mereka.

“Mereka tidak asyik bercakap tentang apa yang negara mereka hutang budi kepada mereka dan kepada keluarga mereka. Mereka tidak fikir apa yang mereka telah buat menjadikan mereka berhak untuk memiliki kuasa atau jawatan.

“Saya harap sesiapa sahaja yang menganggap dirinya berhak pada masa sekarang sedar bahawa berpeluang untuk membantu negara sudah cukup memadai,” katanya.

Meskipun tidak menamakan secara spesifik, status tersebut dipercayai ditujukan buat Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu,  Latheefa berkata, apa juga strategi parti sepatutnya dibincangkan terlebih dahulu sebelum sesuatu pengumuman dibuat.

“Kau bincang tentang strategi dengan parti sebelum buat pengumuman bukan selepaslah #ngokngek,”tulisnya di akaun Facebooknya.

Anak perempuan Anwar, Nurul Izzah semasa hadir pada seminar Gerakan Islam dan Perubahan Politik bertajuk ‘Dari Reformasi ke Malaysia Baharu: Rahmat untuk Semua 16 September’ yang lalu berkata, semua pihak memahami perjanjian yang dibuat dalam Pakatan Harapan (PH) ke atas bapanya.

Menurut beliau, perjanjian bagi memberikan laluan kepada Anwar telah dimuktamadkan sebelum PH berjaya menubuhkan kerajaan 9 Mei yang lalu.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast