KUALA LUMPUR – Pendedahan portal Free Malaysia Today (FMT) kononnya Peguam Negara, Tommy Thomas telah meletak jawatan sebentar tadi disahkan tidak benar.
Malah FMT selang beberapa minit bertindak menarik balik berita tersebut dan menggantikan pula dengan permohonan maaf tanpa syarat berhubung penyiaran berita itu.
Portal itu turut mengakui penghasilan berita itu melalui sumber-sumber mereka namun ia tidak benar dan telah ditarik balik serta merta.
Dalam pada itu, Tommy ketika dihubungi media memberitahu dirinya tidak merancang untuk meletak jawatan, sebaliknya masih lagi Peguam Negara ketika ini.
“Tidak betul berita ini, saya akan teruskan penggal saya. Ini hanya sekadar khabar angin yang tidak benar,” katanya ringkas.
Tommy juga terkejut dengan ‘gosip’ liar yang melingkari dirinya.
Sebelum ini dilaporkan, antara sebab peletakan jawatan itu berkaitan dengan tindakan Pejabat Peguam Negara menarik balik kes tuduhan rasuah dihadapi Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan ahli perniagaan, Phang Li Koon baru-baru ini.
Tommy juga menghadapi kritikan daripada pelbagai pihak sejak menjawat jawatan berkenaan sejak tiga bulan lepas termasuk dalam kalangan pemimpin dan aktivis pro Pakatan Harapan (PH).
Sebelum ini, Malaysia Gazette menyiarkan ulasan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad sendiri secara lantang mempersoalkan ‘ketidakcekapan’ Thomas yang dilihat gagal dalam banyak sudut.
Abdul Hamid juga secara terbuka menuduhnya sebagai pengamal undang-undang ‘penakut’ terutamanya dengan cara Tommy mengendalikan kes-kes berprofil tinggi sehingga ada antaranya ‘terlepas’ begitu sahaja tanpa sebarang dakwaan. – Malaysia Gazette
Baca Selanjutnya:
http://malaysiagazette.com/blog/2018/09/09/tommy-jangan-jadi-penakut-kata-bekas-ketua-hakim-negara/