Muhammad Shafee Abdullah

KUALA LUMPUR – Peguam terkemuka Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang menghadapi dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM9.5 juta daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan dua pertuduhan membuat penyata yang tidak betul kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri, hari ini melunaskan baki bayaran jaminan berjumlah RM500,000.

Bayaran itu dibuat oleh anaknya, Muhammad Farhan, iaitu seorang daripada peguam mewakili Muhammad Shafee, yang tiba tepat jam 11.50 pagi bersama dua orang penjamin bapanya di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, di sini.

Bagaimanapun, Muhammad Shafee tidak hadir bagi urusan jaminan itu, yang selesai pada pukul 1.30 tengah hari.

Sebaik tiba, Muhammad Farhan bersama dua lelaki yang merupakan saudara terdekat dan rakan rapat bapanya, dilihat terus ke kaunter jamin di aras bawah kompleks mahkamah itu untuk menandatangani dokumen berkaitan jaminan.

Bagaimanapun media gagal mendapat sebarang komen daripada Muhammad Farhan, yang kelihatan bergegas meninggalkan kaunter jaminan itu.

Khamis lepas, Hakim Azura Alwi membenarkan Muhammad Shafee diikat jamin RM1 juta dengan dua orang penjamin serta membenarkan peguam itu membayar jaminan secara ansuran sehingga hari ini (18 Sept) dan jaminan sebanyak RM500,000 telah dibayar hari itu (Khamis).

Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan melibatkan diri dengan pengubahan wang haram iaitu dengan menerima hasil daripada aktiviti haram, masing-masing berjumlah RM4.3 juta dan RM5.2 juta melalui dua keping cek AmIslamic Bank Berhad milik Mohd Najib Abd Razak yang telah dimasukkan ke dalam dua akaun CIMB Bank Berhad milik tertuduh.

Muhammad Shafee dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, J2 & K1, Taman Tunku, Bukit Tunku dekat sini pada 13 Sept 2013 dan 17 Feb 2014.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Peguam itu juga mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan melibatkan diri secara langsung dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada akitiviti haram iaitu dengan membuat suatu penyata tidak betul yang bertentangan dengan Perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi Tahun Kewangan berakhir pada 31 Dis 2013 dan 31 Dis 2014.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa meninggalkan pendapatan yang telah diterima pada 13 Sept, 2013 berjumlah RM4.3 juta dan pendapatan yang diterima pada 17 Feb 2014 berjumlah RM5.2 juta melalui dua keping cek AmIslamic Bank Berhad milik Mohd Najib Hj Abd Razak yang dimasukkan ke dalam dua akaun CIMB Bank Berhad milik tertuduh, yang mana tertuduh dikehendaki oleh Akta Cukai Pendapatan 1967 untuk membuat penyata bagi pihak tertuduh.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Lembaga Hasil Dalam Negeri, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini pada 3 Mac 2015 dan 29 Jun 2015.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFAPUAA) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 2 Okt ini. – MalaysiaGazette