SEPANG – Mahu memastikan produktiviti pekerja tidak terganggu dengan masalah keluarga, Kumpulan AirAsia mengambil inisiatif membuka taska di ibu pejabatnya di AirAsia RedQ dekat sini yang beroperasi setiap hari dengan bayaran yang sangat minimum.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, corak pekerjaan di syarikat penerbangan itu yang tidak menentu masa membuatkan terdapat pekerja-pekerjanya terutama ibu dan bapa tunggal sukar mencari tempat untuk menempatkan anak-anak mereka.
Ini sekaligus menyukarkan kakitangan syarikat penerbangan tambang murah itu untuk memberi sepenuh komitmen kepada tugasan.
“Ini adalah impian sejak dahulu lagi tetapi kita tidak mampu untuk membina taska semasa di Terminal Tambang Murah (LCCT) kerana tiada ruang malah di sini (ibu pejabat) juga ruangnya amat terhad.
“Namun melihat kepada sejarah AirAsia yang mana kita tidak pernah tunduk kepada halangan, hari ini kita dapat menyaksikan Taska Kista @RedQ dapat dibuka untuk memudahkan ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke sini.
“Kami di AirAsia mengukur kebahagiaan pekerja sebagai salah satu perkara penting,” katanya semasa sidang media selepas pelancaran Taska Kista @RedQ di sini hari ini.
Majlis disempurnakan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail.
Taska yang dikendalikan oleh Krista Education, pakar pendidikan awal kanak-kanak sejak lebih 22 tahun itu menerima semua anak-anak petugas AirAsia yang berusia di antara enam tahun hingga 11 tahun.
Taska berukuran 413 meter persegi itu menempatkan empat bilik darjah, bilik susuan, bilik sakit, tandas untuk kanak-kanak, dewan makan, pantry, bilik pengeringan, kawasan permainan dalam dan luar dewan, alat permainan dan alat bantuan mengajar serta kemudahan multimedia.
“Saya tidak mahu bercakap mengenai kos tetapi sejak dahulu kita mempunyai ramai pekerja yang merupakan ibu atau bapa tunggal, jadi saya harap taska di pejabat memudahkan mereka menumpukan perhatian kepada tugas dan dalam masa yang sama tidak risau mengenai keadaan anak-anak mereka,” katanya.
Tambah Tony, beliau merancang untuk membuka lebih banyak taska sedemikian di rangkaian-rangkaian AirAsia yang lain. – MalaysiaGazette