Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Seramai 19 orang maut manakala 14 orang lagi mangsa dilaporkan kritikal dan 9 lagi dimasukkan wad selepas mengalami keracunan metanol.

Kementerian Kesihatan mengesahkan telah menerima 51 kes keracunan metanol dari negeri Selangor (45 kes) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (6 kes) semalam.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes itu dijangka meningkat apabila lebih ramai pesakit mendapatkan rawatan kes tersebut.

Menurutnya, setakat ini hanya sembilan mangsa telah dibenarkan pulang ke rumah.

Kesemua mereka mempunyai sejarah pengambilan minuman beralkohol jenis sebatian minuman keras.

Dr Noor Hisham berkata, hasil siasatan yang dijalankan mendapati kesemua pesakit yang terlibat telah membeli minuman sebatian keras di premis-premis di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Sampel minuman alkohol yang diambil semasa siasatan kes dan pemeriksaan premis-premis jualan telah dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan Sungai Buloh (MKAK) untuk ujian analisa kandungan minuman.

Kesemua mangsa telah menunjukkan tanda-tanda dan gejala keracunan metanol seperti sakit perut, loya, muntah, sakit kepala, kabur penglihatan dan ada yang mengalami sesak nafas, kekejangan dan tidak sedarkan diri.

Tanda-tanda dan gejala awal keracunan dialami satu atau dua hari selepas tarikh akhir meminum minuman tersebut.

Katanya, KKM telah memaklumkan kepada semua fasiliti kesihatan untuk kesiapsiagaan rawatan kes-kes sekiranya mereka hadir di klinik dan hospital dengan tanda dan gejala keracunan metanol.

Laporan polis telah dibuat oleh pihak KKM untuk mengenalpasti pengedar, pengilang minuman tersebut dan punca keracunan dan seterusnya menyekat pembekalan sebatian minuman keras yang tercemar ini di pasaran.

KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) sedang mempertingkatkan tindakan penguatkuasaan ke atas produk minuman beralkohol yang tidak mematuhi Akta Makanan 1983 terutama ke atas produk minuman beralkohol yang disyaki dan semua jenama lain yang didapati tidak mematuhi keperluan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Di bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983 telah menetapkan mana-mana orang yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Masyarakat juga diminta menjauhi daripada mengambil sebarang minuman beralkohol yang mungkin mengandungi metanol yang mendatangkan masalah kesihatan dengan tanda-tanda dan gejala seperti sesak nafas, sakit perut, loya atau muntah, cirit-birit, pening atau sakit kepala yang teruk, kabur penglihatan dan kekejangan serta boleh mengakibatkan maut.

KKM akan terus bekerjasama dengan pihak Polis DiRaja Malaysia dan semua agensi yang terlibat bagi mengawal serta memantau perkembangan situasi kejadian keracunan ini.

Situasi terkini kejadian ini akan dimaklumkan kepada umum dari semasa ke semasa, katanya. – MalaysiaGazette