KUALA LUMPUR — Dua rakan serumah didakwa hari ini atas tuduhan dengan kejamnya menyebabkan penderitaan terhadap seekor kucing yang dimasukkan ke dalam mesin pengering pakaian yang membawa kepada kematian haiwan itu di sebuah kedai dobi layan diri.
Pemandu teksi A. Mohanraj, 41, dan juruteknik elektrik S.S. Satthiya, 26, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan secara bersama di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua lelaki itu didakwa bersama-sama dengan seorang lagi yang masih bebas telah dengan kejamnya menyebabkan penderitaan yang tidak sepatutnya terhadap seekor kucing di premis dobi di Taman Gombak Ria, Batu Caves di sini antara 12.54 tengah malam dan 1 pagi, pada 11 Sept lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 29 (1) (e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 29 (1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan mengikut akta tersebut adalah yang pertama dijalankan di negara ini sejak ia berkuat kuasa pada Julai 2017.- BERNAMA