Menara Felda Kuala Lumpur. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 04 FEBRUARI 2017.

KUALA LUMPUR — Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), dengan ahli lembaga pengarah baharu, telah menyenaraikan beberapa kaedah penyusunan semula bagi pemulihan dalam tempoh dua tahun akan datang, kata Pengerusinya Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor.

Beliau berkata kaedah-kaedah itu termasuklah penstrukturan semula pinjaman bank dan mendapatkan saluran hayat tambahan bagi pembayaran serta melupuskan aset syarikat dalam dan luar negara.

“Kita ada aset di London, iaitu penginapan asrama, pangsapuri dan hotel, selain hotel di Kuching dan Kota Kinabalu dengan beberapa tanah di kawasan tertentu,” katanya kepada pemberita pada taklimat media khas di sini, hari ini.

Menurut Megat Zaharuddin, aset-aset tersebut yang bernilai antara RM2.1 bilion dan RM2.2 bllion, akan digunakan untuk membayar hutang agensi kerajaan itu yang berjumlah RM8 bilion.

Beliau berkata Felda menyasar mengurangkan hutangnya kepada RM6.5 bilion menjelang akhir tahun ini daripada RM8.025 bilion ketika ini menerusi penjualan aset dan dan merancang menjualnya pada harga yang tinggi.

Pengerusi yang baru dilantik itu juga berkata selepas mengambil alih pentadbiran syarikat sejak tujuh minggu lepas beliau mendapati satu daripada cabaran terbesar yang dihadapi Felda adalah paras aliran tunai yang hampir habis akibat daripada pinjaman yang diambil dari bank.

“Masalah aliran tunai yang lemah itu juga disebabkan oleh harga minyak sawit yang rendah. Syarikat akan menyerahkan satu kertas putih kepada kerajaan untuk dibentangkan di persidangan parlimen akan datang.

“Ia akan menangani pelbagai isu dalam Felda, termasuk perancangan dan tadbir urus yang lemah serta penyelewengan,” kata Megat Zaharuddin.

— BERNAMA