Annuar Musa
Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa mungkin masih tidak percaya sahabat politiknya, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang sama-sama berjuang untuk parti dan rakyat Kelantan sejak sekian lama, tiba-tiba membuat keputusan keluar parti.

Baginya, Mustapa yang lebih dikenali dengan panggilan Tok Pa adalah insan yang baik, mesra, peramah, tidak banyak bercakap, tapi banyak bekerja dan sentiasa pula mencetuskan idea bernas untuk mengukuhkan UMNO di Kelantan khususnya.

Mereka sama-sama rebah bangun berjuang dan bergilir-gilir pula menerajui UMNO Kelantan sejak 1990 demi untuk merampas kembali negeri itu dari pemerintahan Pas.

Namun, segala sangkaan yang baik-baik terhadap Tok Pa terhakis begitu sahaja apabila Ahli Parlimen Jeli itu mengambil keputusan meninggalkan UMNO, ketika parti itu memerlukan khidmatnya untuk bangun dari kejatuhan.

Sebagai ahli politik yang matang, Annuar cuba berlapik dalam meluahkan rasa kecewanya dengan sikap dan tindak tanduk Tok Pa melalui coretan hatinya.

Buat sahabat dan mantan yang pernah dan sedang berjuang,

Setiap daripada kita adalah orang yang bernasib baik. Kita ditatang dan disokong oleh ramai orang. Mereka orang biasa. Orang kampung, orang miskin yang melihat kita sebagai idola, sebagai orang yang dipercayai.

Kita membina imej sebagai berjiwa rakyat, sebagai pejuang, bersifat dengan segala sifat yang baik.

Kita tunggangi kekuatan parti untuk naik ke atas. Kerananya, kita dapat undi yang banyak, dapat pangkat dan jawatan. Kadangkala parti memberi kita kawasan yang selamat, kuasa yang banyak, pangkat yang tinggi. Bukan itu saja malah parti membiayai kita dengan dana dan peruntukan.

Kita sebenarnya orang biasa saja jika tanpa pangkat, kuasa dan gelaran.

Sesetengah daripada kita lebih bernasib baik daripada yang lain. Puluhan tahun kita dalam hidup berpangkat hatta di saat kawan-kawan kita jatuh tersungkur. Tapi kita dilonggokkan dengan pelbagai pangkat dan kedudukan. Betapa besar jasa parti terhadap kita.

Kini buat pertama kali, parti kita hilang segalanya. Inilah saat parti amat memerlukan kita. Kalau dulu kita memerlukan parti, parti menyelamatkan kita. Tetapi bila parti memerlukan kita, wajarkah kita lari menyelamatkan diri kita?

Sudahlah lari, kita menghina parti kita sendiri yang baru saja rebah dan sedang cuba bangkit berdiri. Bukan saja kita tidak menolong, tapi kita memijak dan meludah parti sendiri.

Sebagai pemimpin yang dulu dapat kemewahan sewaktu berkuasa, sememangnya kita menjadi sasaran tekanan dan ugutan. Kita dizalimi. Kita difitnah. Kita dihina. Kita tidak lagi dipuja. Namun itu sebahagian daripada perjuangan. Itulah ujian sebenar.

Alangkah malunya kita yang ditatang bak permata, tiba-tiba cair sebagai plastik yang baru sedikit dibakar api.

Wajarkah kita terus gian dan kemaruk kuasa, pangkat dan kedudukan lalu meninggalkan kawan, pengikut, penyokong dan pengundi yang mengundi parti untuk kita?

Lebih mengaibkan, kita lari sambil meludah parti, tapi saki-baki milik parti kita larikan untuk diri sendiri. Kerusi dan amanah rakyat kepada parti kita bawa lari untuk kita gadai kepada musuh tanpa diredai para pengundi dan parti.

Sebenarnya menderhaka itu mudah sekali. Meninggalkan medan juang juga senang sekali. Apa lagi kalau hanya istilah pangkat yang ada dalam kamus kehidupan kita. Maka pangkatlah yang diumpan kepada kita.

Semoga Allah SWT memberi kekuatan kepada mereka yang jujur berjuang dalam senang dan susah serta dalam menang dan kalah!

Rupanya kita yang berpangkat ini, jiwa tidak sekental pengikut, hati tak sejujur penyokong!!

Kita terus berjuang!!!

  • TSAM 20/9/18

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast