Shamsul Anuar Nasarah
Shamsul Anuar Nasarah

KUALA LUMPUR – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang bakal berlangsung akan digunakan oleh Presiden Datuk Ahmad Zahid Hamidi untuk menyampaikan amanat penting berkaitan dengan hala tuju parti itu.

Kata Ketua Penerangan parti itu, Datuk Shamsul Anuar Nasarah, amanat itu akan menjadi gambaran jelas masa depan UMNO.

“Pastinya Presiden UMNO akan menyampaikan amanat penting dalam ucapan dasar beliau.

“Saya percaya, pelbagai pihak yang menanti dan ingin mendapat gambaran jelas apakah halatuju parti akan menerima jawapannya ketika perhimpunaan ini.

“Justeru itu, inilah ruang terbaik beliau untuk menyatakan kemana arah haluan parti dan perjuangan kita di perhimpunan rasmi parti nanti.

“Saya harap kita memberikan peluang kepada Presiden dan pucuk pimpinan UMNO untuk melakukannya.” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Shamsul Anuar dalam masa yang sama mengakui terdapat pihak tertentu kini sedang cuba memecahbelahkan UMNO bukan sahaja peringkat barisan kepimpinan bahkan juga usaha itu dilakukan di akar umbi.

Sehubungan itu, beliau berharap agar semua ahli kekal bersatu-padu dan meletakkan kepercayaan kepada barisan kepimpinan parti itu.

“Dalam keadaan yang sama, kita harus sedar bahawa usaha-usaha pihak tertentu sedang dilakukan untuk terus memecahbelahkan pimpinan dan parti kita. Perkara ini bukan hanya di peringkat tertentu sahaja ia juga di akar umbi parti.

“Oleh itu, kita jangan terperangkap dengan strategi yang mereka lakukan.

“Apa yang penting ketika ini, kita mesti letakkan kepercayaan kepada pimpinan parti dan bersatu dalam apa keadaan sekalipun,” tambahnya.

Terbaharu, Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa mendedahkan ahli Parlimen UMNO kini sedang ditawar untuk meninggalkan parti itu.

Tawaran itu bukan hanya daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) malah kata Annuar juga datang daripada PKR.

Terdahulu, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunus mendedahkan terdapat usaha membeli Ahli Parlimen UMNO dengan tawaran sehingga RM20 juta setiap orang untuk meninggalkan parti dan menyertai PPBM demi mengukuhkan kedudukan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast