Reaksi Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada para media dan penyokongnya sebaik keluar dari wad sebelum mengadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Hospital Rehabilitasi Cheras, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 16 MEI 2018.

SINGAPURA – Ketika menyaksikan Dr. Mahathir Mohamad mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia pada Mei lalu, pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) Anwar Ibrahim mengakui beliau yang sepatutnya dilantik untuk jawatan itu.

Anwar, yang menjalani hukuman penjara pada masa itu, menyaksikan majlis acara angkat sumpah Dr Mahathir dari dalam wad hospital setelah menjalani pembedahan.

Ia merupakan jawapan yang diberikan oleh Anwar dalam Siri Syarahan Umum Ho Rih Hwa di Universiti Pengurusan Singapura (SMU), semalam.

Beliau menjawab soalan yang dikemukakan oleh seorang penuntut Institut Raffles yang bertanya apa yang berlegar di fikiran Anwar semasa menyaksikan acara angkat sumpah itu.

Anwar berkata: “Anda mahu saya jujur atau perspektif politik? Kalau perspektif politik, sudah tentu saya gembira, semua orang sangat gembira.

“Apabila Dr Mahathir bersumpah, ia (memberi isyarat) era baharu untuk Malaysia. Beliau (Dr Mahathir) membuat kenyataan bahawa apabila Pakatan Harapan (PH) menang, mereka akan mengemukakan permohonan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk pengampunan segera (untuk Anwar).

“Tetapi saya juga merasakan bahawa saya sepatutnya berada di sana, anda tahu? Saya akui, saya akui,” katanya sambil menggerakkan jarinya.

“Saya tidak mahu berbohong dengan anda, saya ada terfikir mengenainya – ia sepatutnya saya bukan Dr Mahathir,” tambah Anwar.

Jawapan Anwar itu disambut dengan gelak oleh hadirin.

Anwar pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri dari tahun 1993 hingga 1998 sebelum didakwa oleh Dr Mahathir.

Beliau kemudian ditahan dan dipenjara atas tuduhan meliwat dan rasuah. Beliau dibebaskan pada tahun 2004, tetapi disabitkan dan dipenjarakan sekali lagi untuk kes liwat pada tahun 2015.

Hubungan Anwar dan Dr Mahathir telah bertambah baik dengan Dr. Mahathir sendiri yang bertanggungjawab terhadap pembebasan Anwar dari penjara dan bersetuju untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar dalam tempoh dua tahun.

Anwar, yang membuat kemunculan kedua di Singapura sejak dibebaskan dari penjara, telah dihujani dengan soalan-soalan panas oleh para penuntut semasa syarahan umum itu.

Salah seorang penuntut Temasek Junior College bertanya apa yang diperlukan untuk pembaharuan politik di Singapura dan adakah beliau berpendapat Singapura sudah bersedia ke arah itu.

Anwar berkata: “Untuk menjadi adil dan lebih objektif, isu Singapura atau masalahnya, pastitidak dapat dibandingkan dengan kegagalan di Malaysia. Tiada siapa yang bercakap tentang rasuah atau diskriminasi endemik di sini seperti yang anda lihat di sana.

“Tetapi sama ada Singapura harus beralih kepada pembaharuan demokratik, itu adalah keputusan rakyat Singapura tetapi untuk membandingkan dengan Malaysia, saya fikir ia tidak betul kerana kita berada di peringkat di mana jika … perubahan tidak berlaku pada pilihan raya lepas, Malaysia sudah pasti musnah

Anwar juga ditanya mengenai keputusan Kabinet Malaysia untuk menurunkan umur pengundi daripada 21 kepada 18 tahun, dan Anwar menyambut baik keputusan tersebut.

“Saya telah pergi ke sekolah dan bercakap dengan pelajar universiti yang berumur 18 tahun, kadang-kadang mereka lebih pintar daripada mereka yang berumur 50-an. Tetapi yang lebih penting, mereka lebih idealistik, lebih berprinsip dan mereka tidak suka rasuah,” katanya.

Anwar juga ditanya sama ada beliau akan mengekalkan Menteri Kewangan semasa Lim Guan Eng dalam jawatannya apabila beliau dilantik sebagai Perdana Menteri – dan dengan bersemangat Anwar menjawab: “Jadikan saya Perdana Menteri, kita selesaikan satu demi satu.”

Seorang pelajar Malaysia dari Anglo Chinese Junior College bertanya tentang puak-puak dalam parti PKR dan bagaimana Anwar merancang untuk menyatukan dua kem – Azmin Ali dan Rafizi Ramli.

Kedua-duanya akan bertanding bagi merebut jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan dalaman PKR pada hari Sabtu ini

Anwar, yang bersedia untuk memegang jawatan Presiden PKR pada November ini menegaskan, pertandingan untuk jawatan Timbalan Presiden tidak akan menyebabkan parti itu berpecah.

“Satu-satunya penyelesaian ialah tidak ada pertandingan, maka saya akan mengikuti kaedah Korea Utara,” gurau Anwar.

“Jika demokrasi, anda mesti bertolak ansur dengan perbezaan, anda harus menerima kenyataan bahawa ada orang yang berkempen.

“Ketegangan parti dan semangat demokratik adalah mereka yang berada dalam persaingan (bertanding untuk) memenangi pilihan raya. Tetapi tugas saya sebagai Presiden untuk membawa mereka bersama dan memberi peranan yang sesuai untuk orang yang telah dikalahkan dalam pemilihan parti. Ini kerana semua ini adalah pilihan raya dalam kalangan anggota keluarga,” kata Anwar.

Soal jawab itu berakhir hampir dua jam, dengan lebih 20 penuntut mengutarakan soalan-soalan panas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast