Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini mengesahkan jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei telah didiagnosis menghidap barah hidung peringkat awal.
Datuk Lee Chong Wei.

KUALA LUMPUR – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini mengesahkan jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei telah didiagnosis menghidap barah hidung peringkat awal.

Presidennya Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata pada masa ini Chong Wei berada di Taiwan bagi mendapatkan rawatan sambil berehat untuk sembuh bersama keluarga dan kawan rapat.

“Berhubung laporan mengenai Datuk Lee Chong Wei baru-baru ini, BAM mengesahkan pemain itu telah didiagnosis dengan barah hidung peringkat awal.

“Kami menggesa semua pihak agar menghormati privasi beliau dan keluarga,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Kenyataan BAM itu sebagai respons kepada satu laporan yang tular menyatakan  pemenang  pingat perak Olimpik tiga kali tersebut menghidap barah hidup tahap tiga.

“Bagi pihak Chong Wei, saya berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia atas doa dan keprihatinan kalian. BAM sentiasa berhubung dengan Chong Wei dan kami akan menyalurkan segala bantuan yang perlu kepada legenda kita itu,” kata Mohamad Norza.

Pada Julai lalu, BAM mengeluarkan kenyataan menyatakan Chong Wei tidak akan mengambil bahagian dalam dua kejohanan utama disebabkan masalah kesihatan serta telah dinasihatkan agar berehat oleh doktor  selepas menjalani rawatan berikutan masalah berkaitan respiratori.

Dua kejohanan utama berkenaan ialah Kejohanan Dunia BWF dan Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 yang masing-masing berlangsung bulan lepas.

–BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast