Halim Mazmin
Ketua Eksekutif Kumpulan Halim Mazmin, Tan Sri Halim Mohammad bercakap pada Randau Pasca Kongres KBN di Wisma Majlis Perundingan Melayu (MPM) Bina Daulah, Kuala Lumpur. foto MIRZA HASIM, 22 SEPTEMBER 2018

KUALA LUMPUR- Hampir 10 tahun mendiamkan diri dari dunia korporat, Pengerusi Eksekutif Halim Mazmin Bhd., Tan Sri Halim Mohammad bersedia  mengembalikan semula kegemilangan syarikatnya, sekaligus menjadikan beliau sebagai salah seorang tokoh perniagaan Bumiputera yang berjaya di negara ini.

Menurut taikun industri perkapalan ini, beliau mula aktif sejak dua tahun lalu dengan membeli beberapa buah kapal-kapal baharu, selain membuka universiti khusus untuk industri maritim yang diberi nama Meritus University.

“Saya ada, sentiasa ada cuma selepas mengeluarkan Halim Mazmin Bhd. dari Bursa Malaysia, saya banyak terlibat dengan perniagaan hospitaliti dan pendidikan,” katanya ketika ditanya ke mana beliau menghilang selama beberapa tahun lepas.

Pada 2009, Halim selaku pemegang saham utama bersama isterinya, Puan Sri Mazmin Noordin menyahsenarai syarikat tersebut dari Bursa Malaysia pada harga 60 sen sesaham dengan nilai keseluruhan RM73.8 juta.

Menurut Halim, beliau juga sedang menimbang peluang untuk membawa semula syarikat yang ditubuhkan sejak 1982 itu ke Bursa Malaysia.

“Saya tidak menolak sebarang peluang dan ketika ini kami sedang aktif membeli kapal-kapal baharu.

“Saya yakin dengan pasaran tempatan manakala nilai ringgit pula banyak dipengaruhi oleh faktor global semasa, apabila keadaan kembali pulih, saya percaya pasaran juga akan menjadi lebih baik.

“Mungkin dalam tempoh beberapa tahun lagi (kami akan kembali ke Bursa Malaysia),” katanya kepada pemberita selepas Randau Pasca Kongres KBN 2018 anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM) di sini hari ini.

Menyentuh mengenai agenda pembangunan ekonomi bumiputera, Halim berkata, beliau bersedia memainkan peranan utama membantu MPM mencari jalan terbaik menolong usahawan-usahawan bumiputera.

“Banyak yang boleh dilakukan untuk membantu kaum bumiputera terutama dalam aspek pendidikan.

“Saya lihat kita jauh ketinggalan. Beberapa hari lepas saya berada di sebuah forum di Singapura yang membincangkan mengenai Artificial Intelligence (AI) sedangkan di sini kita masih berbalah mengenai masalah air dan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

“Saya akan gunakan kemahiran dan pengalaman saya untuk membantu MPM dalam agenda pembangunan bumiputera.

“Kita masih memerlukan kerajaan tetapi sudah tiba masanya kita berdiri sendiri kerana ini bukan lagi masa kerajaan tahu semuanya (government know best),” katanya lagi.

Randau Pasca Kongres KBN 2018 dianjurkan bagi memperhalusi idea-idea yang telah dilontarkan semasa Penganjuran Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 pada 1 September lalu.

Dua kumpulan kerja ditubuhkan bagi menyediakan input untuk dikemukakan kepada kerajaan semasa Kajian Separuh Penggal RMK11.

Kertas cadangan akan dikemukakan kepada kerajaan dalam dua minggu lagi.-MalaysiaGazette