Azam Baki

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang berusaha membawa pulang kesemua aset di luar negara yang dipercayai dibeli menggunakan dana 1MDB yang diseleweng.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata, ia termasuk pesawat Bombardier 700 bernilai RM143 juta yang berada di Singapura, tiga lukisan bernilai lebih RM400 juta dan hartanah yang dibeli di beberapa negara.

“Satu pasukan khas telah dihantar selepas Mutual Legal Assistance (MLA) atau Bantuan Perundangan Bersama dari negara-negara terbabit diperolehi melalui Jabatan Peguam Negara.

“Satu daripada hasrat objektif penyiasatan ini adalah untuk membawa balik aset berkaitan IMDB di luar negara dan sebab itu kita (SPRM) perlukan bantuan negara berkenaan seperti Switzerland, Singapura serta Amerika Syarikat dalam menyelesaikan siasatan ini.

“Sebagai contoh, kita telah membawa pulang kapal layar mega Equanimity dengan bantuan Indonesia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi tetamu program SPRM 360 di Bernama Radio di sini, hari ini.

Azam menambah jika aset serta barangan berkenaan tidak boleh diperoleh atas faktor tertentu, SPRM berharap untuk mendapatkannya dalam bentuk wang tunai.

“Yang mana dikatakan punca daripada 1MDB, kita akan berusaha bawa pulang aset berkenaan atau memperolehinya semula dalam bentuk wang tunai yang sama nilai dengan barangan berkenaan,” katanya.

Pada 7 Ogos lepas, kapal mewah Equanimity bernilai RM1 bilion yang dibeli menggunakan dana 1MDB dibawa pulang ke negara ini dari perairan Indonesia.

Kapal itu disita atas permintaan pihak Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat kerana terbabit dengan siasatan rasuah 1MDB.

Mengulas mengenai sama ada saksi luar negara seperti selebriti antarabangsa Leornado DiCaprio akan dibawa ke sini untuk dirakamkan keterangan, Azam berkata perkara itu tidak perlu kerana pegawai khas SPRM boleh mengumpul keterangan saksi di negara terlibat dengan kerjasama pihak berkuasa negara luar.

Ahli perniagaan kontroversi Low Taek Jho atau Jho Low dilaporkan menggunakan dana 1MDB yang diseleweng untuk membeli karya seni yang dihadiahkan kepada DiCaprio. – MalaysiaGazette